Ahad, 11 Januari 2015 | 1:17pm

14 lelaki warga asing ditahan di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Seramai 14 lelaki warga asing ditahan dalam operasi di beberapa rumah kongsi dan rumah sewa di Bukit Tengah di sini dari 11 malam tadi hingga 2 pagi ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor.

Beliau berkata, 14 lelaki berusia 20 hingga 45 tahun dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan, tidak mempunyai permit dan pas kerja yang sah.

Katanya, kesemua mereka dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan.

Rusli berkata, Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah Daerah SPT itu dijalankan dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), mensasarkan pusat hiburan, siber kafe, kegiatan pelacuran dan pencegahan jenayah.

Katanya, dalam operasi itu, polis turut menahan dua lelaki dan empat wanita berusia 20 hingga 30 tahun di sebuah pusat hiburan kerana memiliki dadah manakala tiga lagi lelaki ditahan atas kesalahan menurut Akta Penapisan Filem, Akta Racun dan Akta Pencegahan Dadah.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan operasi trafik dan mengeluarkan 75 saman atas pelbagai kesalahan. -- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X