Ahad, 21 Mei 2017 | 1:16pm

Pegawai kanan Imigresen dibebaskan kes rasuah

ALOR SETAR: Mahkamah Majistret hari ini membebaskan seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia berhubung siasatan meluluskan permit kerja golongan ekspatriat dengan nilai suapan lebih RM20 juta, hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Nor Fadzilah Wan Ibrahim selepas tempoh reman suspek utama yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar itu tamat hari ini.

Berikutan, suspek berusia 37 tahun dan berasal dari Jitra itu, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin.

Pada 8 Mei lalu, SPRM Kedah menahan suspek kerana disyaki menjadi dalang utama bagi meluluskan permit kerja golongan ekspatriat atau profesional warga asing dengan nilai suapan lebih RM20 juta.

Suspek dipercayai mampu hidup mewah dengan memiliki pelbagai aset yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM2.5 juta, termasuk lima kereta mewah, antaranya BMW dan deposit tetap hampir RM1 juta, disyaki hasil kegiatan rasuah terbabit.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan bahawa suspek sudah dibebaskan.

Sebelum ini, suspek berkenaan disambung tahanan reman pada 15 Mei selama enam hari sementara empat lagi rakannya yang dipercayai menjadi 'pemegang amanah' kekayaannya berusia antara 30 hingga 53 tahun termasuk seorang bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan RM10,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Berita Harian X