Ahad, 21 Mei 2017 | 3:54pm

Busana ala Cinderella Fazura dipuji blogger fesyen dunia

BUSANA ciptaan Rizman Ruzaini yang digayakan Fazura mendapat tumpuan meluas termasuk blogger fesyen antarabangsa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
BUSANA ciptaan Rizman Ruzaini yang digayakan Fazura mendapat tumpuan meluas termasuk blogger fesyen antarabangsa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Pereka duo terkenal, Rizman Ruzaini gembira busana ciptaan yang digayakan pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Nur Fazura Sharifuddin mendapat tumpuan meluas termasuk blogger fesyen antarabangsa.

Rizman berkata, gaun rona biru muda itu menerima jumlah komen tertinggi dengan rata-rata memuji penampilan bintang jelita itu.

"Sebaik saya memuat naik gambar Fazura menggayakan busana itu, ramai yang suka. Saya terima lebih 500 komen yang memuji pakaian itu.

"Lebih mengejutkan, penampilan Fazura turut menjadi bualan termasuk liputan daripada blogger fesyen luar negara, " katanya kepada BH Online.

Rizman berkata, busana istimewa itu diilhamkan daripada karakter dongeng, Cinderella yang menepati karakter drama bersiri terbaharu lakonan Fazura iaitu Hero Seorang Cinderella.

"Fazura mahukan sesuatu yang simple untuk ABPBH 3.0. Disebabkan dia hadir bersama Fattah Amin, saya cadangkan dia menggayakan gaun ala Cinderella versi moden," katanya.

Rizman juga gembira ramai selebriti menggayakan rekaan mereka pada malam kemuncak itu.

"Lebih mengujakan Fattah yang memakai sut rekaan kami, dijulang sebagai Bintang Paling Popular.

"Ziana Zain dan Erra Fazira pula tampil di pentas menyampaikan trofi dengan memakai busana ciptaan kami," katanya sambil mengakui ABPBH menjadi platform pertama mempromosikan rekaan mereka pada skala besar hingga dikenali ramai.

Berita Harian X