Ahad, 21 Mei 2017 | 4:32pm

Stacy aktif semula selepas Aidilfitri


Stacy. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Stacy, 27, berhasrat kembali aktif dalam bidang seni selepas Aidilfitri.

Berehat sejak melahirkan cahaya mata sulung, Eshaal yang kini berusia tiga bulan, Stacy mula mengurangkan berat badan dan mendapatkan semula stamina.

Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam mengaku sedaya upaya cuba mendapatkan berat badan ideal.

"Harap impian saya untuk aktif menyanyi dapat dilaksanakan selepas Hari Raya. Cuma kalau boleh, saya ingin bertenaga menyanyi dan menari di pentas.

"Eshaal juga sudah tidak lagi menyusu badan. Ini memudahkan saya bergerak ke sana-sini. Alhamdulillah, suami juga tidak menghalang hajat saya untuk kembali bekerja," katanya kepada BH Online.

Pasangan kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu mempunyai dua cahaya mata perempuan iaitu Bella Deluna, 6, dan Eshaal.

Bercerita mengenai karenah Bella dan Eshaal, Stacy berkata:

"Alhamdulillah...Bella sangat sayangkan Eshaal sehingga tidak boleh berenggang. Paling terasa ketika Bella dimasukkan ke wad minggu lalu, air matanya bergenang kerana rindukan adiknya di rumah.

"Lucu juga kerana Bella begitu menyayangi adiknya sehingga dia kadang kala mengambil peranan sebagai ibu untuk menukar lampin Eshaal. Gelagat Bella menjaga adiknya memang boleh dijadikan bahan jenaka," katanya.

61 dibaca
Berita Harian X