Ahad, 21 Mei 2017 | 10:16pm

Inspektor bunuh isteri diberkas

KUCHING: Kurang enam jam selepas menembak mati isterinya, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan berhampiran sebuah pasar raya di pinggir bandar raya ini, jam 9.35 malam tadi.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah dari Ibu pejabat Polis Kontingen (IPK) Sarawak, yang bertindak atas maklumat risikan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansur, ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan suspek ditahan berhampiran Pasaraya e-Mart Matang, di sini.

Katanya, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penahanan dilakukan.

"Berikutan penahanan suspek, tumpuan kini diberikan pada proses siasatan, termasuk mengenal pasti motif sebenar pegawai terbabit membunuh mangsa.

"Fokus siasatan bertumpu kepada masalah peribadi antara mangsa dan suspek," katanya.

Bagaimanapun, Mazlan tidak menyatakan sama ada senjata api digunakan dalam pembunuhan itu dirampas daripada suspek.

Mazlan turut mengesahkan suspek bertugas sebagai Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga.

Katanya, hasil maklumat awal mendapati suspek memasuki bilik tidur mangsa dan melepaskan satu das tembakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang tadi, seorang wanita ditemui mati di rumah keluarganya di Kampung Kakai, Serian, dipercayai ditembak oleh suaminya, yang juga seorang pegawai polis.

Difahamkan, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga sejurus menembak mangsa.

Mangsa ditemui mati oleh jirannya, seorang anggota polis bantuan, yang bergegas ke rumah berkenaan selepas ibu wanita terbabit meminta pertolongan.

Mangsa, Siti Nadirah Abdullah, 33, dikatakan berkahwin dengan suspek, yang juga seorang pegawai polis di Belaga tahun lalu, namun masih belum dikurniakan anak.

Namun, difahamkan mangsa kini mengandung dua bulan dan akan menjalani pemeriksaan minggu depan.

Mangsa mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu. Mangsa tidak bekerja selepas mendirikan perkahwinan kedua ini.

Mangsa dalam akaun Facebook menggunakan nama Christy El, yang kali terakhir dikemaskini pada 10 April lalu, meninggalkan catatan "Bergembiralah, anda tidak tahu berapa lama lagi masa anda yang tinggal."

93 dibaca
Berita Harian X