Isnin, 22 Mei 2017 | 12:18am

UNIC juara Gema Gegar Vaganza

KUMPULAN nasyid, UNIC diumumkan juara edisi pertama Gema Gegar Vaganza (GGV), yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, di sini, sebentar tadi. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KUMPULAN nasyid, UNIC diumumkan juara edisi pertama Gema Gegar Vaganza (GGV), yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, di sini, sebentar tadi. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid, UNIC mencipta kejutan apabila diumumkan juara edisi pertama Gema Gegar Vaganza (GGV), yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, di sini, sebentar tadi.

UNIC yang mendendangkan lagu Ainul Mardhiah disusuli tugasan kedua bersama kumpulan Saujana dengan lagu Kalah Dalam Menang, menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Kemenangan itu menyaksikan UNIC yang dianggotai oleh Fakhrul, Bazli dan Nakdi, menewaskan kumpulan favourite, Hijjaz, yang diumumkan sebagai naib juara.

Anggota Hijjaz menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

Namun, Hijjaz diundi peminat untuk memenangi Anugerah Persembahan Pilihan Penonton dengan hadiah kemenangan wang tunai RM5,000.

Tempat ketiga pula dimenangi kumpulan Mirwana, manakala tempat keempat disandang Azmi Saat.

Mirwana menerima hadiah wang tunai RM20,000. Azmi turut dipilih sebagai penerima Anugerah Gema Terindah.

Sementara itu, Hafiz Hamidun memenangi tempat kelima dan kumpulan Saujana di tempat keenam.

GGV menampilkan juri tetap iaitu Farihin Abdul Fattah dan Oki Setiana Dewi, manakala Datuk Siti Nurhaliza menjadi juri jemputan.

Sementara itu, Achey, Fikry dan Siti Nordiana bertindak sebagai pengacara sepanjang lapan minggu GGV bersiaran.

Berita Harian X