Isnin, 22 Mei 2017 | 1:12pm

ADUN DAP, BN diarah keluar DUN PP

 SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang memulakan Mesyuarat Penggal Kelima DUN Ke-13 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang memulakan Mesyuarat Penggal Kelima DUN Ke-13 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

GEORGETOWN: RSN Rayer (DAP-Seri Delima) dan Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) diarah oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang,  Datuk Law Choo Kiang keluar dewan selepas mereka mengingkari peraturan mesyuarat.

Choo Kiang membuat keputusan itu selepas Rayer dan Shah Headan bertikam lidah ketika sesi perbahasan menyokong ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada Sidang DUN, hari ini.

Pertikaman lidah tercetus apabila, Shah Headan tidak berpuas hati dengan kenyataan Rayer yang mendakwa 'BN menganggap wanita sebagai simbol seks' ketika mencelah dalam sesi bahas oleh ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.

Difahamkan, Rayer merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor dari BN, Datuk Shahbudin Yahaya berhubung isu perkahwinan antara perogol dengan mangsa bawah umur ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Shah Headan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, meminta Rayer menarik balik dan memohon maaf terhadap tindakan berkenaan, sehingga berlaku pertikaman lidah yang berlanjutan hampir lima minit.

Choo Kiang kemudian mengarahkan kedua-dua mereka supaya duduk untuk membolehkan Mohd Salleh meneruskan perbahasan berkenaan, tetapi kedua-dua wakil rakyat itu ingkar.

"Saya arahkan Seri Delima dan Teluk Bahang keluar dewan untuk hari ini," katanya.

Sementara itu, Shah Headan ketika ditemui, berkata beliau menyifatkan kenyataan Rayer itu melampau dan mahu wakil DAP itu membuat permohonan maaf.

"Kenyataan Rayer yang menyifatkan 'BN menganggap wanita sebagai simbol seks' adalah keterlaluan dan melampau.

"Sepatutnya speaker boleh meminta Rayer tarik balik kenyataan serta mohon maaf itu sahaja. Bukannya arahkan saya keluar dewan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X