Ahad, 11 Januari 2015 | 5:49pm
VAN dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan dekat Raub, pagi tadi. - Foto sosial media
VAN dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan dekat Raub, pagi tadi. - Foto sosial media

Sukarelawan banjir kemalangan di Raub

KUANTAN: Sebuah van membawa rombongan sukarelawan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang baru pulang daripada misi bantuan mangsa banjir di Pasir Mas, Kelantan terbabas dekat Raub, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Raub DSP Abdul Rahim Abdul Razak berkata kejadian berlaku di Kilometer 327 Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu dekat Sega pada 4.30 pagi.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki parah manakala tujuh cedera ringan apabila van yang dinaiki 10 sukarelawan termasuk pemandu itu, terbabas akibat hilang kawalan.

Beliau berkata mangsa yang parah, Maizal Ashwad, 42, kini dirawat di Hospital Kuala Lipis manakala tujuh yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raub.

Abdul Rahim berkata rombongan tersebut ketika itu dalam perjalanan dari Tanah Merah, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Van yang dipandu Mohammad Zahrulizuwan Zulkiflee, 22, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat kemalangan itu, seorang mangsa patah kaki dan tujuh cedera ringan manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

- BERNAMA

Berita Harian X