Isnin, 22 Mei 2017 | 6:35pm
ANTARA hasil rampasan dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, Cheras, Jumaat lalu. - Foto Nur Afiradina Arshad

Pangsapuri di Bukit Jalil jadi makmal dadah

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil. - Foto Nur Afiradina Arshad

KUALA LUMPUR: Polis membongkar satu makmal memproses dadah dan merampas minyak syabu dianggarkan bernilai RM90,000 dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, Cheras, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 7 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras itu, polis turut merampas lima pucuk pistol, termasuk sepucuk Revolver bersama 188 butir peluru 9 milimeter (mm) serta 80 butir peluru 45mm.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata ketika serbuan dilakukan, pangsapuri berkenaan kosong, namun susulan serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di sebuah lokasi berhampiran bagi membantu siasatan.

"Pelbagai jenis peralatan yang dipercayai digunakan dalam memproses syabu, antaranya tiga bekas plastik yang mengandungi cecair gelap disyaki meth oil (minyak syabu) seberat 1.3 kilogram (kg) serta tiga bikar kaca dan plastik ditemui dalam pangsapuri berkenaan.

ANTARA hasil rampasan dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, Cheras, Jumaat lalu. - Foto Nur Afiradina Arshad

"Suspek dipercayai menggunakan pangsapuri itu sebagai makmal menghasilkan syabu berikutan penemuan satu balang kaca berisi kimia asid hidroklorik dan etanol absolute, dipercayai antara bahan utama dalam menghasilkan dadah berkenaan," katanya pada sidang media, di sini.

Katanya, dalam serbuan itu juga, polis merampas wang tunai sebanyak RM65,837, yang dipercayai wang hasil penjualan dadah.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai menyewa pangsapuri terbabit sejak dua bulan lalu dan menjadikannya makmal menghasilkan syabu serta aktif mengedarkan dadah jenis itu di sekitar ibu negara serta kawasan sekitar.

"Suspek direman selama enam hari sehingga 25 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati," katanya.

Berita Harian X