Isnin, 22 Mei 2017 | 9:31pm

Pendapatan UEM Edgenta naik 18 peratus Q1 2017

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM47.2 juta pada suku pertama tahun semasa, naik RM20.7 juta atau 78 peratus berbanding RM26.5 juta diperoleh pada suku dikaji 2016.

Prestasi itu diperoleh menerusi peningkatan pendapatan RM117.2 juta atau 18 peratus kepada RM769.0 juta, berbanding RM651.8 juta yang diperoleh suku sama sebelumnya.

Syarikat itu dalam satu kenyataannya berkata, sebahagian besar peningkatan pendapatan itu disumbangkan Bahagian Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan yang mencatatkan RM115.7 juta.

Katanya, ia didorong daripada sumbangan pendapatan anak syarikatnya, Asia Integrated Facility Solutions Pte Ltd yang diambil alih UEM Edgenta pada Disember 2016.

"Bahagian Perundingan mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak RM17.8 juta dalam tempoh yang sama dan ia disumbangkan pendapatan lain yang lebih tinggi daripada prestasi kukuh Opus International Consultants Ltd.

"Bahagian Perkhidmatan Hartanah juga mencatatkan pendapatan yang lebih baik pada suku pertama tahun 2017 sebanyak RM32.1 juta oleh sumbangan positif anak syarikat, KFM Holdings Sdn Bhd (KFM)," katanya di sini.

Berita Harian X