Selasa, 23 Mei 2017 | 12:42pm

Masalah cukai pendapatan Nelydia selesai


PELAKON, Nelydia Senrose. - Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Pelakon Nelydia Senrose mendakwa sudah menyelesaikan masalah cukai pendapatan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan berharap isu itu tidak diperbesarkan.

Nelydia, 23, mengaku 'terlepas pandang' beberapa perkara berhubung prosedur percukaian hingga LHDN mengeluarkan waran tangkap ke atasnya, bulan lalu.

"Saya anggap perkara itu sudah selesai dan tak perlu dipanjangkan. Ada salah faham antara saya dan LHDN.

"Saya mengaku khilaf disebabkan ada perkara yang terlepas pandang. Saya patut lihat hal ini dengan lebih mendalam dan teliti," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, dunia hiburan gempar apabila LHDN mengeluarkan waran tangkap terhadap Nelydia atau nama penuhnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen selepas pelakon jelita itu tidak hadir dalam prosiding kes gagal mengemukakan cukai pendapatan.

Nelydia menghadapi lima pertuduhan kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 78(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mengkehendaki Nelydia mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) bagi lima tahun taksiran.

Dia dilaporkan gagal mengemukakan borang taksiran bagi tahun 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Nelydia turut menghadapi satu lagi tuduhan iaitu gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 81 Akta Cukai Pendapatan 1967, bagi mengemukakan maklumat secara lisan kepada LHDN.

Pelakon itu berkata, isu cukai pendapatan berkenaan diselesaikan sekembalinya ke tanah air selepas bercuti, baru-baru ini.

Ketika waran tangkap dikeluarkan, Nelydia bercuti di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Berita Harian X