Selasa, 23 Mei 2017 | 3:48pm

RHB Bank untung RM500.3 juta suku pertama 2017

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mencatat keuntungan bersih RM500.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2017, peningkatan 91.5 peratus berbanding suku sebelumnya.

Menurut kumpulan perbankan itu, peningkatan keuntungan bersih hampir sekali ganda berbanding suku sebelumnya didorong oleh beberapa faktor.

"Ia termasuk pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lebih rendah dalam suku dikaji," demikian menurut RHB Bank dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, keuntungan suku pertama dikaji adalah 11.4 peratus lebih rendah berbanding RM564.9 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun 2016.

Pendapatan berasaskan dana bersih juga merosot 1.2 peratus kepada RM1.1 bilion, berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala pertumbuhan pinjaman serta perbelanjaan pembiayaan yang lebih rendah diimbangi oleh mampatan margin.

Perbankan runcit kekal menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan dan segmen itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM257.5 juta bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pinjaman runcit dan pembiayaan mencatatkan margin lebih tinggi sebanyak RM70.5 bilion, dengan pertumbuhan dalam pajakan diimbangi oleh penurunan dalam pembiayaan auto dan pinjaman pembelian keselamatan.

Sementara itu, perniagaan perbankan Islamik kumpulan mencatat pertumbuhan 3.3 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM99.4 juta dalam suku pertama tahun kewangan semasa.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB Bank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata kumpulan akan meneruskan pertumbuhan terpilih, di samping menguruskan kualiti aset dan meningkatkan produktiviti.

Pada suku pertama tahun ini, katanya, kumpulan memulakan pembaharuan digital bertujuan menyampaikan pengalaman ringkas dan mudah kepada pelanggan.

"Sebagai sebahagian daripada agenda FinTech, kami bekerjasama dengan Pertubuhan Pembiayaan untuk memperluaskan peluang pembiayaan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kurang mendapat peluang di negara ini," katanya.

Berita Harian X