Selasa, 23 Mei 2017 | 4:57pm

3 sekolah ungguli kategori baharu APCBH 2016


DATUK Abdul Jalil Hamid (tengah) dan Datuk Mahfar Ali (empat dari kanan) dan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (enam dari kanan) bergambar bersama pemenang Anugerah Pelajar Cemerlang BH (APCBH) 2016 yang diadakan di Balai Berita, NSTP, sebentar tadi.- Foto Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Tiga sekolah dinobatkan sebagai pemenang kategori baharu Anugerah Pelajar Cemerlang BH (APCBH) 2016 iaitu Rakan Sekolah Cemerlang BH Akademik, Sukan dan Kokurikulum.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) dipilih sebagai pemenang bagi kategori Rakan Sekolah Cemerlang BH (Akademik); Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Banting, Selangor (sukan) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Abu Bakar Baginda, Sungai Merab, Selangor (kokurikulum).

Semua pemenang membawa pulang wang tunai RM5,000 dan hadiah iringan.

Guru SMK Taman Rinting 2, Pasir Gudang, Johor, Ilham Ismail, dipilih sebagai pemenang pertama bagi kategori Rakan Sekolah Cemerlang BH (Pendidik Kreatif), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 dan piala iringan.

Seramai 21 pelajar cemerlang dari seluruh negara pula dipilih sebagai penerima bagi setiap kategori iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setiap pemenang membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Pengarang Eksekutif Berita, Rencana Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Pengarang Eksekutif Pengeluaran, Percetakan dan Digital BH, Rosli Safar.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, APCBH 2016 dianjurkan sebagai penghargaan kepada pelajar yang pernah mengikuti Seminar Bimbingan Peperiksaan BH merangkumi UPSR, PT3 dan SPM pada tahun lalu.

"Setiap penerima kategori UPSR, PT3 dan SPM dinilai berdasarkan pencapaian cemerlang akademik serta pembabitan dalam kokurikulum tertinggi sama ada di peringkat sekolah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

"Anugerah ini diharap dapat mendorong dan menyuntik semangat pelajar supaya terus berusaha gigih bagi mencapai kecemerlangan seimbang dalam akademik dan kokurikulum," katanya.

INFO

APCBH mula diperkenalkan pada 2007

Berita Harian X