Selasa, 23 Mei 2017 | 7:04pm

Ancaman Daesh Cabaran ASEAN, Asia

KUALA LUMPUR: Ancaman kumpulan militan Daesh masih menjadi cabaran terbesar di rantau Asia khususnya Asia Pasifik dan ASEAN, serentak dengan penularan ideologi perjuangan kumpulan itu yang kononnya berpaksikan kepada agama Islam.

Felo Kehormat Yayasan Pemerhati Penyelidik India, Pinak Ranjan Chakravarty, berkata kumpulan militan itu yang bertapak kukuh di beberapa negara Asia Barat turut dikesan memiliki jaringan operasi maksimum di Afghanistan dan barat daya Pakistan.

Situasi ini jika tidak dikawal katanya, bakal mencetuskan polemik keselamatan yang serius di

Asia Selatan apatah lagi mereka memperoleh kerjasama dari kumpulan militan tempatan di

Afghanistan dan Pakistan.

"Pergolakan di Afghanistan angkara operasi Daesh dan kumpulan militan tempatan sedikit

sebanyak adalah ujian untuk melihat sejauh mana keberkesanan peranan dimainkan Amerika Syarikat pada masa akan datang dalam menangani isu seumpama ini," katanya pada sesi plenari kedua Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-31 (APR 31) di sini.

Sesi plenari kedua itu mengupas mengenai peranan Amerika Syarikat di Asia daripada semua

aspek berkaitan.


FELO Kehormat Yayasan Pemerhati Penyelidik India, Pinak Ranjan Chakravarty. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Menurut Pinak, benua Asia pada dasarnya dilatari pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan namun sedikit sebanyak ia dicemari dengan konflik berdarah yang meragut ratusan nyawa tidak berdosa.

Peperangan di beberapa negara Asia Barat seperti Syria, kebangkitan Daesh, rampasan kuasa yang gagal di Turki dan kerakusan Recep Tayyip Erdogan memperluaskan tampuk kuasa presiden dan perluasan penempatan Israel walaupun menerima kecaman hebat pelbagai pihak adalah antara kemelut yang sekian lama menyelubungi benua Asia, katanya.

"Semua 'kecacatan' ini menimbulkan persoalan atas kemampuan AS membawa dirinya sebagai

'harapan' dunia, apatah lagi apabila ditadbir oleh Presiden Donald Trump yang sudah mula

menerima kecaman ramai berikutan beberapa dasar 'tidak masuk akal' yang dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Institut Kajian dan Strategik Antarabangsa (ISIS) Thailand,

Dr Thitinan Pongsudhirak berkata, ASEAN memerlukan peranan lebih besar bukan saja dari AS

tetapi juga rangkaian kuasa besar lain seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan India bagi

mengimbangi pengaruh China yang kini semakin mendominasi dunia.

Beliau berkata, ASEAN enggan membiarkan diri mereka berada di bawah cengkaman China atau AS kerana ketidakseimbangan pengaruh bakal menjerumuskan rantau itu ke kancah pertelingkahan sekali gus memberi impak negatif kepada pembangunan serantau.

"Pada masa sama, ASEAN tidak mahu bergelar Pak Turut kepada sebarang pakatan membabitkan AS atau China kerana itu bermakna kedua-dua negara boleh bertindak sesuka hati tanpa tertakluk kepada peraturan yang ada," katanya.

70 dibaca
Berita Harian X