Ahad, 11 Januari 2015 | 10:18pm

Muizzuddin tekad lakar banyak kejayaan musim 2015

PELUMBA go-kart sensasi Malaysia, Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar daripada Pasukan Gamoto Racing. - Foto ihsan muizzracing.com
PELUMBA go-kart sensasi Malaysia, Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar daripada Pasukan Gamoto Racing. - Foto ihsan muizzracing.com

KUALA LUMPUR: Pelumba go-kart sensasi Malaysia, Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar daripada Pasukan Gamoto Racing, bertekad untuk mencipta lebih banyak kejayaan untuk negara, musim ini selepas mencatat pencapaian membanggakan pada 2014.

Muizzuddin, 12, yang melakar sejarah muncul pelumba Asia pertama meraih anugerah pada Siri Go-Kart Dunia (WSK) di Adria dekat Venice, Itali malam tadi, berkata gelaran juara tersebut menjadikannya lebih yakin bagi menghadapi perlumbaan itu pada musim ini.

"Saya sangat gembira dan dapat lebih inspirasi. Saya berhasrat memenangi lebih banyak perlumbaan agar keluarga saya dan Malaysia bangga," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Muizz Racing di sini hari ini.

Muizzudin yang ditemani ibunya pada majlis anugerah itu, meraih trofi kejuaraan Siri WSK dan naib juara Kelas Mini 60 bagi pelumba go-kart berusia 13 tahun ke bawah.

Pada tahun pertama di Itali, Muizzuddin dinobatkan "Pelumba Baharu Terbaik" Piala ROK Itali ketika berusia 10 tahun pada 2012.

Selain mencipta kejayaan podium dalam beberapa kejohanan, Muizzuddin turut melakar pencapaian hebat apabila meraih gelaran juara keseluruhan Piala Juara-juara WSK dan naib juara keseluruhan Siri Super Masters WSK untuk Kelas Mini 60, yang disertai pelumba bawah 13 tahun.

Menjangkau usia 13 tahun pada 23 Februari tahun ini, Muizzuddin akan beraksi dalam kategori Remaja KF dan bersaing dengan pelumba go-kart lebih berpengalaman daripadanya dari seluruh dunia.

"Sasaran yang ditetapkan pasukan adalah berada dalam kelompok 10 teratas untuk separuh pertama perlumbaan musim ini dan kemenangan podium pada separuh kedua perlumbaan. Tetapi saya sudah dilatih oleh ibu bapa sejak kecil untuk melakukan perkara di luar kebiasaan.

"Jadi bagi musim ini, saya menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan dengan kemenangan podium sejak daripada perlumbaan pertama dan secara konsisten sehingga akhir musim. Ia bukan satu yang mudah.

"Jika melihat kepada sejarah, tiada pelumba baharu menamatkan cabaran dalam kedudukan lima teratas pada tahun pertama. Untuk layak ke pusingan akhir pun bukan satu yang mudah. Namun seperti yang saya katakan, saya sentiasa dibesarkan agar mencuba melakukan perkara luar biasa. Itu rahsia saya ketika berlumba," kata Muizzuddin yang akan terus berlumba untuk Pasukan Gamoto Racing. Perlumbaan musim 2015 akan bermula hujung minggu ini dengan Trofi Antarabangsa VEGA di Adria.

Kejohanan lain baginya musim ini adalah Siri Piala Juara-juara WSK, Siri Piala Emas WSK, Siri Super Masters WSK, Perlumbaan Malam WSK, Piala Akhir WSK, Siri Go-Kart CIK FIA Eropah dan Kejohanan Go-Kart Dunia CIK FIA. - BERNAMA

Berita Harian X