Rabu, 24 Mei 2017 | 12:38pm

PPPM 2013-2025 percepat transformasi

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. -Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Dalam memperkasa dan memperkukuhkan sektor pendidikan negara, kerajaan giat merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025), termasuk mengambil langkah berani untuk melakukan perubahan dari segi struktur yang mampu mempercepatkan transformasi sistem.

Antara usaha itu ialah pelaksanaan Program Imersif Tinggi (HIP) bakal diperluaskan ke 10,000 sekolah kerajaan menjelang 2018, bermatlamat memperkasakan penggunaan dan kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Jumlah itu adalah hampir sekali ganda daripada bilangan perluasan ke 5,500 sekolah yang disasarkan Kementerian Pendidikan pada tahun ini.

Catat pencapaian ketara

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata langkah itu diambil berikutan kejayaan dan kesan baik ditunjukkan sekolah terbabit yang begitu menggalakkan, malah mencatatkan pencapaian ketara dari aspek penguasaan bahasa itu.

Sebanyak 94 sekolah daripada enam negeri terpilih untuk memulakan fasa pertama HIP yang dilaksanakan secara rintis bermula pada Mac 2016.

Program itu kemudian diperluaskan kepada 1,106 sekolah di negeri lain membabitkan fasa kedua pada Julai 2016, sebelum disasar diperkenalkan kepada 5,500 sekolah pada tahun 2017.

Sejajar usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris, kementerian akan menambah bilangan sekolah bagi Program Dwibahasa (DLP) yang diperkenalkan pada tahun 2016 daripada 378 kepada 838 pada tahun ini.

Melalui program itu, sekolah diberi pilihan untuk menawarkan beberapa mata pelajaran ditetapkan kementerian, seperti Sains dan Matematik sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Komitmen kementerian meningkatkan landskap pendidikan turut dapat dilihat melalui pelaksanaan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (PIS) yang dilancarkan pada 2010, sebagai penyediaan sokongan kepada 10,000 sekolah, terutama berprestasi rendah (Band 6 dan Band 7).

Pada tahun 2016, bilangan sekolah rendah yang berjaya memperbaiki band masing-masing untuk berada dalam kumpulan cemerlang (Band 1 dan Band 2) meningkat kepada 3,980 pada tahun 2016, berbanding 3,105 (2015).

Di sebalik kejayaan peringkat sekolah, Kementerian Pendidikan Tinggi turut menyaksikan kejayaan meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan global, termasuk menjadi destinasi pilihan pelajar luar negara melanjutkan pengajian.

Berita Harian X