Rabu, 24 Mei 2017 | 1:21pm

Membina pasaran modal sekuriti lebih mapan

ANTARA prinsip pasaran ekonomi yang berdaya saing ialah pengembangan kepelbagaian dan jumlah produk atau perkhidmatan yang boleh didagang bagi memudahkan golongan pelabur baharu. - Foto hiasan
ANTARA prinsip pasaran ekonomi yang berdaya saing ialah pengembangan kepelbagaian dan jumlah produk atau perkhidmatan yang boleh didagang bagi memudahkan golongan pelabur baharu. - Foto hiasan

DI sebalik persekitaran pasaran mencabar dipengaruhi perkembangan ekonomi global dan negara, pasaran ekuiti tempatan masih berdaya tahan, disokong usaha Bursa Malaysia membina pasaran teguh serta berdaya saing dengan tumpuan berterusan terhadap kemapanan.

Di samping mengembangkan rangkaian produk yang boleh diniagakan di pasaran, pengawal selia bursa saham juga terus memudahkan kecekapan dan kebolehcapaian pasaran yang lebih besar, meluaskan kehadiran Malaysia di pasaran serantau.

Pasaran ekuiti mencatat keuntungan sejak 2009, dipacu pertumbuhan ekonomi negara yang stabil. FBM KLCI meningkat 85 peratus dalam tempoh berkenaan, dengan permodalan pasaran naik 148 peratus dan nilai urus niaga harian (ADV) berkembang kukuh 63 peratus.

Pasaran juga mencatat aliran masuk daripada institusi asing sebanyak RM5.3 bilion pada Disember 2016 sejak Januari 2010.

Salah satu prinsip pasaran ekonomi yang berdaya saing ialah pengembangan kepelbagaian dan jumlah produk atau perkhidmatan yang boleh didagang bagi memudahkan golongan pelabur baharu.

Sejajar dengan prinsip ini, pengawal selia berganding bahu dengan pihak industri untuk terus membangunkan produk urus niaga baharu dan pelbagai.

Sepanjang 2016, Kumpulan Macquire Securities memperkenalkan 'call warrant' dan 'put warrant' untuk S&P 500 di Bursa Malaysia.

Lancar produk kewangan baharu

Bursa Malaysia juga melancarkan beberapa produk kewangan baharu seperti Kontrak Timah Masa Hadapan bersandarkan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), pada masa sama memperkayakan produk sedia ada seperti Sekuriti Kerajaan Masa Hadapan tempoh 3-tahun, 5-tahun dan 10-tahun.

Sebagai sebahagian daripada langkah penyerantauan pasaran modal Malaysia dan pengembangan ke pasaran global, pada 2015 Suruhanjaya CFTC Amerika meluluskan pelaburan dalam produk derivatif Bursa Malaysia oleh pemodal AS.

Setakat Disember 2016, nilai dagangan dari pasaran AS meningkat berlipat tiga kali ganda daripada 0.5 juta dagangan pada 2015 kepada 2.2 juta dagangan.

Pada 2016, Bursa Malaysia juga memeterai Persetujuan Persefahaman (MoUs) yang berasingan dengan Pasaran Saham Taiwan dan Pasaran Saham Indonesia.

Ia bertujuan untuk bersama-sama mengkaji kemungkinan kerjasama rentas sempadan dan berganding bahu dalam perkembangan pasaran, promosi dan pembangunan masing-masing.

Seiring arah aliran global dan minat pelabur yang semakin mementingkan kelestarian korporat, pada 2014 Indeks Bursa Malaysia FTSE 4 dilancarkan dengan 24 Konstituen PLC. Angka ini meningkat kepada 42 setakat Disember 2016.

Berita Harian X