Rabu, 24 Mei 2017 | 1:24pm

Sistem pengangkutan bandar tambah kualiti hidup rakyat


PEMBINAAN MRT memperluaskan lagi jaringan sistem pengangkutan bandar.

PELABURAN tinggi yang dibuat kerajaan dalam mempelbagaikan jaringan sistem pengangkutan bandar, terbukti memberi impak besar kepada pengguna di ibu negara sejak ia dimulakan pada 2010.

Ia mampu direalisasikan dengan peningkatan kapasiti pengangkutan awam yang dijangka mencecah 125,578 penumpang sejam sehala (pphpd) menjelang 2020 berbanding 61,978 pphpd 2016.

Pembinaan laluan Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang, Sungai Buloh ke Kajang sejauh 51 kilometer membabitkan kos RM21 bilion (RM23 bilion kos anggaran awal) pada 2016, adalah bukti kerajaan dalam merintis sistem pengangkutan awam bertaraf dunia dan mesra alam sekitar.

Pada masa sama, Bidang Keberhasilan Utama Negara Pengangkutan Awam Bandar (NKRA UPT) mencatatkan sebanyak RM106.5 juta sudah dibelanjakan bagi memperbaiki penggunaan pengangkutan awam di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater KL/KV).

Peningkatan rangkaian pengangkutan awam bandar ini untuk menambah baik kualiti kehidupan rakyat, mengelakkan mereka menghabiskan masa dalam kesesakan lalu lintas dan menjimatkan kos perjalanan.

Laluan MRT 1 Lembah Klang akan siap sepenuhnya menjelang Julai 2017 dan diikuti Laluan MRT 2 pada 2022. Sementara itu, kajian pelaksanaan Laluan MRT 3 (Circle Line) sudah dilakukan dan hanya menunggu keputusan daripada kerajaan.

Sementara itu, MRT Corp menganggarkan 529,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan MRT Sungai Buloh - Putrajaya, sebaik saja projek berkenaan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang 2022, ekoran pembukaan penuh laluan Sungai Buloh - Kajang pada suku ketiga 2017.

Pengangkutan rangkaian rel seperti LRT dan KL Monorel dilihat sebagai tulang belakang pengangkutan awam Greater KL/KV, pada masa sama menambah baik perkhidmatan bas serta teksi bandar.

Projek sambungan LRT (LEP) siap sepenuhnya Julai 2016, menghubungkan Kelana Jaya dan Sri Petaling ke Putra Height membabitkan 23 stesen baharu dan tambahan trek sejauh 35 kilometer.

Purata 440,000 orang sehari

Dengan catatan purata penumpang 440,000 orang sehari sejak peluasan laluan itu diperkenalkan, adalah bukti perancangan NKRA UPT berjaya memenuhi keperluan rakyat.

Pengenalan sistem Kutipan Tambang Automatik KTM (AFC) yang menggunakan token atau kad nilai simpan oleh KTM Komuter yang boleh dibeli menerusi tiket mesin layan diri di 53 stesen memberi keselesaan kepada penumpangnya.

Sistem itu dapat mengurangkan kehilangan hasil ekoran sikap penumpang yang mengelak membayar tambang dan pada masa sama, dapat menarik pengguna kereta dengan menjadikan perkhidmatan KTM Komuter sebagai pengangkutan pilihan.

Walaupun rangkaian rel tulang belakang pengangkutan awam bandar, namun perkhidmatan bas dan teksi masih menjadi keutamaan yang tinggi di bawah NKRA UPT dalam menyediakan akses pengguna dari kawasan perumahan ke koridor rel.

Siapnya projek Terminal Bersepadu Gombak bakal menyaksikan peranannya sebagai hab bagi semua bas antara bandar Kuala Lumpur ke Pantai Timur dan ke Utara, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar ketika ini.

Program Transformasi Industri Teksi (TITP) pula kini melalui proses pelaksanaan pengawalseliaan perkhidmatan e-panggilan bagi menambah jumlah teksi baharu beroperasi di jalan raya.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijangka akan membentangkan pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat pada tahun ini.

Berita Harian X