Khamis, 25 Mei 2017 | 3:08pm
GERAI Norhashimah di Jalan Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.

Ketupat palas sandaran usahawan muda


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) ketika menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Hotel Mahkota, Banda Hilir.- Foto Rasul Azli Samad

KUALA TERENGGANU: Kemalangan yang menimpa suaminya empat tahun lalu, mendorong seorang wanita menceburi perniagaan menjual ketupat palas bagi menampung kehidupan keluarga.

Norhashimah Abd Ghani, 32, mengakui pelbagai kesukaran dan kepayahan ditempuh dalam mengusahakan perniagaan berasaskan makanan tradisional, namun anak tunggal berasal dari Kuala Ibai itu enggan berputus asa.

Kegigihan ibu kepada tiga anak berusia antara empat hingga lapan tahun itu mendapat perhatian SME Corps yang meluluskan geran bernilai RM50,000 untuk pasangan itu membuka kilang di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir dengan pelbagai kemudahan asas.

Norhasimah dan suaminya, Mohd Faizu Enet Ghani, 33, bercadang memulakan operasi kilang selewat-lewatnya selepas Aidilfitri kerana masih di peringkat pengubahsuaian.

"Kami amat berterima kasih kepada SME Corps dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang menyediakan premis untuk operasi kilang.

"Apabila beroperasi kelak, kami berharap dapat meningkatkan pengeluaran ketupat palas sebanyak 1,000 biji sehari dengan pembungkusan bersih dan memenuhi piawaian pasaran," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, kilang berkenaan akan dilengkapi mesin pek vakum, pengacau sambal dan tambahan tiga peti sejuk beku.

"Kami merancang mengambil beberapa pekerja dalam kalangan penduduk tempatan bagi melancarkan operasi," katanya.

Norhasimah turut mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mendapatkan fakta nutrisi dan kod bar, selain bersetuju menyediakan peruntukan pembungkusan kepada perusahaannya.

Beliau berharap bantuan yang diberi kepada usahawan muda sepertinya dapat meningkatkan pengeluaran dan pendapatan bidang diceburi.

Sementara menunggu kilangnya beroperasi, Norhasimah meneruskan perniagaan ketupat palas di gerai di Wakaf Beruas hampir setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Setiap Jumaat, beliau mengusahakan perniagaan di Pasar Tani Gong Badak berdekatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), selain membuka gerai di Pasarnita, Tanjung setiap Rabu, Khamis dan Jumaat.

Selain menjual secara terus kepada pembeli, beliau melantik beberapa ejen di Kuala Lumpur, Shah Alam, Melaka, Kemaman dan Johor Bahru untuk mengedarkan produk keluarannya dalam bentuk sejuk beku.

"Selain ketupat palas biasa, produk sejuk beku ditambah dengan inti sambal, serunding daging dan ikan.

"Di gerai, saya mampu menjual purata 500 biji ketupat sehari tetapi jualan melalui ejen dan dalam talian, saya mendapat tempahan purata 5,000 biji sebulan," katanya yang turut menerima tempahan menerusi laman sosial Facebook.

Norhashimah berhasrat memperluaskan pengedaran ketupat palas ke luar negara, bermula dengan Singapura.

Malah, katanya, ketupat palas sejuk beku keluarannya sampai ke Perth apabila seorang rakan yang mengusahakan kafe memperkenalkannya di sana.

"Saya sedang berusaha mendapatkan sijil halal dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri

(MeSTI) bagi memastikan ia memenuhi syarat menembusi pasaran luar," katanya.

79 dibaca
Berita Harian X