Khamis, 25 Mei 2017 | 4:31pm
Ibu, Wiwik Sesie Anak Atat melihat keadaan anak, Jetho Limbang Anak Tobong, yang sedang menjalani rawatan setelah mendapat dana rawatan daripada Khazanah Fund serta bantu orang ramai di Hospital Gleneagles.- Foto Halim Salleh

2 pasangan rayu bantu kos pembedahan anak

MOHD Shazri Mohd Isa bersama isteri Rozita Mohd Rodzi melihat keadaan anak, Muhammad Amirul Mukminin yang sedang menjalani rawatan setelah mendapat dana rawatan daripada Khazanah Fund serta bantu orang ramai di Hospital Gleneagles.- Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Dua bayi masing-masing berusia sebulan dan dua bulan yang mengalami masalah jantung berlubang serta injap terbalik, memerlukan sumbangan bagi menampung kos pembedahan di Hospital Gleneagles, di sini.

Muhammad Amirul Mukminin Mohd Shazri, dua bulan, dikesan mempunyai masalah jantung berlubang dan injap terbalik selepas sebulan dilahirkan dan memerlukan RM60,000 untuk pembedahan.

Ibunya, Rozita Mohd Rodzi, 27, buntu memikirkan keadaannya sebagai suri rumah dan pendapatan suaminya sebanyak RM1,374 sebulan sebagai operator kilang menyukarkan mereka menanggung kos pembedahan.

"Bayi kami kelihatan normal ketika dilahirkan tetapi selepas sebulan, dia batuk teruk kerana berjangkit daripada abangnya.

"Apabila berlarutan, kami membuat pemeriksaan dan doktor sahkan dia menghidap sakit jantung.

"Sebelum itu, dia hanya menunjukkan tanda seperti berpeluh di kepala dan kerap menangis sehingga kepenatan, selain kurang tidur namun kami tidak mengesyaki dia sakit," katanya di sini, hari ini.

Rozita dan suaminya Mohd Shazri Mohd Isa, 27, berharap anak mereka dapat menjalani pembedahan supaya hidupnya normal seperti kanak-kanak lain.

Katanya, doktor mengesahkan anak mereka hanya mampu bertahan setahun jika tidak dibedah segera.

Sementara itu, Wiwik Sesie Anak Atat, 31, tidak dapat menahan sedih apabila mengetahui bayinya menghadapi masalah injap terbalik.

Jethro Limbang Anak Tobong, yang baru berusia sebulan, disahkan mempunyai masalah jantung sebaik dilahirkan berikutan tekanan darahnya tidak naik.

Katanya, pembedahan anaknya memerlukan kos RM60,000 manakala suaminya yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,000 sebulan tidak mampu menampung perbelanjaan itu.

"Saya susah hati memikirkan anak yang sakit dan dan terpaksa berjauhan dengan dua anak yang dijaga suami di Kapit, Sarawak," katanya

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang menerusi akaun Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Berita Harian X