Khamis, 25 Mei 2017 | 9:37pm

Enakmen letak Pulau Pinang dalam 'bahaya' : ADUN

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain semasa sidang media mengenai isu Enakmen pinjaman Pulau Pinang (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di DUN Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017, disifatkan sebagai usaha meletakkan Pulau Pinang dalam keadaan bahaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, berkata ia susulan pendirian kerajaan negeri berbuat demikian bagi mendapatkan dana untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Katanya, kerajaan negeri sebaliknya perlu membuat beberapa kajian yang perlu dipertimbang, sebelum meluluskan enakmen untuk mendapatkan pinjaman daripada China Exim Bank.

"Belum pernah ada mana-mana syarikat perkhidmatan kenderaan awam yang berjaya mengaut keuntungan sepanjang beroperasi, selain kebanyakan daripadanya mencatatkan kerugian atau pulang modal.

"Tambahan, kapasiti penduduk seramai 700,000 di bahagian pulau juga belum tentu dapat memberi pulangan untuk membayar semula pinjaman berkenaan," katanya pada sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Terdahulu, pembentangan enakmen yang dicadangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu mendapat reaksi kurang senang daripada beberapa wakil rakyat kerajaan negeri ekoran tiada kadar siling pinjaman ditetapkan, sebelum ia diluluskan.

Antara wakil kerajaan negeri yang menyatakan kurang senang dengan pembentangan enakmen itu ialah ADUN Berapit daripada DAP, Ong Kok Fooi; ADUN Penanti daripada PKR, Dr Norlela Ariffin dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.

Berita Harian X