Jumaat, 26 Mei 2017 | 6:11am

Transformasi tak popular tetapi perlu

LAPORAN tahunan program Transformasi Negara (NTP) yang dibentangkan Perdana Menteri kelmarin menggariskan pencapaian menyeluruh dicapai sejak enam tahun lalu. NTP dilancarkan pada 2010 itu adalah satu inisiatif dilihat sebagai pendekatan drastik dan berani untuk mengubah pendekatan negara dalam merealisasikan inspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pelan tindakan yang dirancang rapi serta merangkumi semua bidang penting dan pembabitan dari seluruh lapisan masyarakat membuktikan negara mampu melonjak ke paras yang lebih baik daripada sebelumnya. Bukti kejayaan dan keberhasilan melalui program dilaksanakan menampakkan usaha transformasi secara terancang dan berimpak tinggi amat perlu dalam menghadapi cabaran semasa ekonomi global.

Jika diteliti dari segi perubahan geopolitik dan iklim ekonomi global, pelbagai perubahan dan kejutan berlaku sejak beberapa tahun lalu. Antaranya Brexit (undian Britain untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU), kecelaruan pasaran kewangan dunia, kejatuhan harga komoditi serta perjanjian perdagangan Trans-Pasifik yang tidak laksanakan.

Perubahan dan kejutan yang tidak dijangkakan ini memberi impak yang besar kepada negara dari segi kesan ekonomi dan juga pasaran kewangan. Justeru, kesiapsiagaan dalam memperkukuhkan struktur sosial, ekonomi dan institusi negara amat penting dalam memastikan sebarang kejutan dan perubahan semasa dapat ditangani dengan baik.

Pelan transformasi wajar

Oleh itu, pelan transformasi yang dirancang dan dilaksanakan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah wajar dan bertepatan dalam memastikan aspirasi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, berjaya.

Jika dilihat dari sudut penanda aras pencapaian, Malaysia berjaya mengharungi pelbagai cabaran seperti krisis kejatuhan harga minyak mentah dunia pada 2015 dan 2016 lalu. Tanpa perancangan baik dan tindakan tepat, kesan kejatuhan harga minyak dunia itu pasti memberi impak yang sangat besar kepada ekonomi negara.

Kebergantungan hasil pendapatan negara dari sumber petroleum menjangkau 41 peratus pada 2009. Jika komposisi hasil pendapatan negara itu masih kekal pada peratusan sama pada 2016, ia akan menyebabkan sumber pendapatan negara berkurangan sekitar 50 peratus dan banyak inisiatif pembangunan terjejas.

Bagaimanapun, kemerosotan pendapatan ini dapat ditampung oleh sumber hasil yang pelbagai, disebabkan perubahan struktur ekonomi negara yang sudah berubah. Justeru, pada 2016 kurang 15 peratus hasil pendapatan negara disumbangkan hasil petroleum.

Terus berdaya saing

Dalam pada itu, perlu ditekankan transformasi adalah sesuatu langkah yang perlu dilaksanakan walaupun akan ada tentangan dan cabaran jangka pendek. Di antara beberapa dasar kurang popular seperti pengenalan cukai barangan dan rasionalisasi subsidi berbentuk menyeluruh, memberi tekanan kepada kewangan kerajaan jika tidak dilaksanakan.

Transformasi bukan sesuatu yang selalunya popular, tetapi perlu bagi memastikan negara secara keseluruhan mampu terus berdaya saing dalam arena antarabangsa.

Pembangunan infrastruktur fizikal seperti jaringan Transit Aliran Massa (MRT) dan jalan raya yang baik, adalah penting dalam memberi keselesaan dan tambah nilai kualiti kehidupan kepada seluruh rakyat. Di samping itu, pembangunan infrastruktur dapat memacu dan memangkinkan aktiviti ekonomi di kawasan terbabit dan negara keseluruhannya.

Pembangunan secara menyeluruh yang membabitkan semua rakyat seperti digariskan dalam NTP, adalah amat perlu dalam memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan semasa.

Kejayaan NTP adalah apabila negara berjaya mencapai tahap pendapatan negara berpendapatan tinggi melalui program membabitkan semua rakyat serta mapan.

Berdasarkan perubahan semasa iklim ekonomi dunia, transformasi adalah inisiatif yang bersifat berterusan. Kejayaan yang dicapai sejak enam tahun lalu melalui NTP serta usaha gigih semua pihak perlu diteruskan dan dipertingkatkan.

Justeru, segala pencapaian lalu yang baik harus menjadi pendorong kepada pihak berkepentingan dalam memastikan aspirasi dan wawasan 2020 melangkaui sehingga Transformasi Nasional 2050 (TN50).

37 dibaca
Berita Harian X