Jumaat, 26 Mei 2017 | 3:21pm

PM agih kurma sumbangan Raja Arab Saudi

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyempurnakan majlis pengagihan kurma sebanyak 10 tan atau 574 kotak yang disumbangkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Pada majlis yang diadakan di Masjid Putra itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pelancaran Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan yang bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai ibadat puasa.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmud Husin Qottan.

Kurma yang disumbangkan Raja Arab Saudi itu akan diagihkan membabitkan 70 masjid dan 110 Surau Jumaat di Kuala Lumpur dan dua masjid dan 14 Surau Jumaat di Putrajaya.

Pihak Kedutaan Arab Saudi turut sudi menyampaikan cenderamata iaitu 300 naskhah al-Quran dan 300 pek kurma kepada tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima cenderahati dari Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmud Husin Qottan di majlis Penyampaian Kurma Sumbangan Penjaga Dua Tanah Suci dan Pelancaran Ihya' Ramadan Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra, Putrajaya. Turut kelihatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X