Jumaat, 26 Mei 2017 | 9:28pm

Usahawan muda digital digesa daftar harta intelek

PENOLONG Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Perniagaan) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Fatimah Rohada Dahalan. - Foto BERNAMA
PENOLONG Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Perniagaan) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Fatimah Rohada Dahalan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Usahawan muda khususnya yang berkecimpung dalam perniagaan dalam talian digesa mendaftarkan harta intelek bagi menjaga hak ciptaan mereka.

Penolong Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Perniagaan) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Fatimah Rohada Dahalan, berkata usahawan muda di negara ini masih menganggap perkara berkaitan harta intelek bukan isu penting dalam pembangunan perniagaan.

"Sekiranya tidak didaftarkan, pemilik asal tidak mempunyai kuasa dan bukti untuk dibawa ke peringkat perundangan sekiranya ciptaan mereka ditiru menyebabkan mereka mengalami kerugian dari segi keuntungan dan pemilikan harta intelek," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, pendaftaran harta intelek seperti jenama atau logo juga membolehkan usahawan dalam talian membuat pengiklanan berkesan melalui media sosial, seterusnya membolehkan produk mereka dikenali ramai.

Menurutnya, terdapat enam komponen harta intelek yang boleh dilindungi iaitu paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.

Beliau berkata, sebanyak 12,054 permohonan untuk cap dagangan direkodkan dari Januari sehingga April tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 5,867 permohonan cap dagangan adalah dari Malaysia dan 6,187 permohonan peniaga asing.

Untuk maklumat lanjut mengenai MyIPO, orang ramai boleh melawat ibu pejabat MyIPO di Kuala Lumpur atau cawangan yang terdekat serta melayari laman sesawang www.myipo.gov.my atau hubungi talian 03-2299 8400. - BERNAMA

Berita Harian X