Sabtu, 27 Mei 2017 | 2:06pm

Pura-pura tutup, elak diserbu


Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Jaimin Sumpit . - Foto Faiz Anuar

KOTA KEMUNING: Taktik sebuah rumah urut menutup premis bagi mengelak diserbu, gagal apabila pihak berkuasa berjaya memanjat masuk melalui bahagian belakang premis itu, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Jaimin Sumpit berkata, operasi bersepadu bersama penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam pada jam 4 petang itu menemui seramai 20 warga asing berusia antara 20 tahun dan 34 tahun bersembunyi di dalam bilik premis itu bagi mengelak ditangkap.

"Pengusaha rumah urut ini cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menutup premis seolah-olah sudah tidak beroperasi.

"Pihak berkuasa berpura-pura beredar, namun datang semula dengan memanjat bahagian belakang premis ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, seramai 17 daripada 20 warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah.

Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh, enam wanita warga Vietnam dan 10 wanita warga Indonesia.

Jaimin berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat orang awam dan risikan pihaknya mendapati rumah urut itu menggaji wanita muda warga asing, selain menawarkan perkhidmatan berunsurkan maksiat, termasuk seks dan oral seks.

"Pengusaha premis juga menggaji lelaki warga asing sebagai penjaga premis bagi mengelak majikan atau warga tempatan ditangkap ketika serbuan," katanya.

231 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »