Sabtu, 27 Mei 2017 | 11:01pm

SUPERB bantu Johan bina, perluas perniagaan


JOHAN Arifin di hadapan Kilang Bateri di Jalan Tampoi, Johor. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Geran RM500,000 menerusi Program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB), diakui amat membantu pengasas tapak niaga, Kilang Bateri, di sini dalam mengembangkan perniagaan itu hingga popular sebagai tarikan pelancong ke bandar raya ini.

Pengarah Foreveready Sdn Bhd yang juga pengasas Kilang Bateri, Johan Arifin Mohd Ropi, berkata geran SUPERB yang diterima pada 2015 di bawah anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu bukan setakat membantu meluaskan perniagaan, tetapi mengukuhkan jaringan.

Beliau berkata, menyertai program SUPERB adalah peluang yang dinantikan semua usahawan, tetapi baginya aspek lebih penting adalah 'ikatan' persahabatan yang terjalin antara kumpulan usahawan Bumiputera yang menyertai program itu.

"Pada peringkat awal, kami sebagai peserta diminta menghantar video selama dua minit menceritakan projek perniagaan yang dirancang sebelum terpilih melalui program boot-camp bimbingan dan mentor selama seminggu.

"Selain diajar, dibimbing dan dilatih jurulatih yang dilantik TERAJU, ia mengukuhkan lagi bonding (ikatan) dan idea antara semua peserta, iaitu kalangan usahawan.

"Perkara positif yang kami dapat ialah, menang atau kalah tidak penting tetapi adalah jaringan rangkaian antara kami selepas melalui program berkenaan," katanya.

Jadi ikon, jenama baharu

Johan Arifin berkata, berbekalkan geran yang diperoleh itu, lahirlah ikon dan jenama baharu yang menjadi fenomena di bandar raya ini iaitu Kilang Bateri di Jalan Tampoi, pusat beli-belah berkonsepkan outlet premium yang menawarkan pelbagai produk tempatan.

"Pembangunan tempat ini adalah usaha gabungan Fun Time Entertainment Sdn Bhd, Joho Concept dan Skala Reka Sdn Bhd yang mengekalkan sebahagian struktur bangunan lama iaitu kilang bateri Eveready dan selebihnya diubah suai dengan konsep vintaj dan hipster," katanya.

"Asalnya Kilang Bateri diwujudkan sebagai tempat untuk belia berkumpul, namun apabila sudah dikenali ramai, kini ia menjadi lokasi kunjungan keluarga menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman selain beli belah," katanya.

Katanya, Kilang Bateri kini menempatkan lebih 180 usahawan tempatan yang sebelum ini berniaga secara dalam talian.

109 dibaca
Berita Harian X