Ahad, 28 Mei 2017 | 4:44pm

Jualan lelong pakaian 'Jakel Barulah Raya' diserbu


PENGARAH Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR : Orang ramai menyerbu jualan lelong 1,000 koleksi 'Jakel Barulah Raya' edisi pertama di Jakel Mall, di sini.

Pembekal dan pemborong tekstil terkemuka, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel), turut menawarkan sejuta koleksi pakaian raya kali ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata tawaran berkenaan meliputi koleksi pakaian raya terpilih daripada Duta Raya Jakel iaitu Upin Ipin, Aaron Aziz, Janna Nick, Ayda Jebat, Awal Ashari, Scha AlYahya dan anak Lara Alana, Nabil, Harith Iskandar, Hairul Hazreen, Hanis Zalikha dan anaknya, Yusof Iskandar.

Mohamed Faroz berkata, pelbagai promosi hebat menanti pelanggan Jakel sehingga jam 12 tengah malam setiap hari sepanjang Ramadan manakala hari terakhir puasa dibuka sehingga jam 6 petang.

"Hari ini Jakel membuat sesi harga runtuh melelong 1,000 pakaian dengan diskaun sehingga 85 peratus.

"Koleksi pakaian Duta Raya Jakel antaranya Aaron Aziz dijual pada harga terendah termasuk koleksi baju Melayu serendah RM89.

"Semua pembelian koleksi baju Melayu diberi samping serta butang baju Melayu percuma.

"Tawaran lain termasuk kurta lelaki pada harga RM100 untuk dua helai dan kurung wanita RM79.

"Turut menjadi pilihan ialah koleksi pakaian sedondon khas Aidilfitri keluarga Awal Ashari dan Hairul Azreen, " katanya selepas memperkenalkan barisan Duta Jakel Raya 2017 di Jakel Mall, hari ini.

Tiga Duta Raya Jakel baharu dilantik tahun ini adalah Harith Iskandar, Aida Jebat dan Janna Nick.

Mohammed Faroz berkata, pemilihan artis sebagai ikon Jakel adalah ketat termasuk perlu memiliki latar belakang baik dalam industri dan imej bersih terhadap produknya.

"Aaron Aziz sudah enam tahun mengikat kontrak sebagai Duta Raya Jakel dan kita harap kerjasama ini berterusan. Tahun ini sebanyak 50,000 pasang baju Melayu Aaron ditawarkan kerana sambutan sangat menggalakkan," katanya.

Selain outlet terbesar Jakel Mall di Kuala Lumpur, Jakel turut mempunyai 21,000 cawangan lain di seluruh negara.

Berita Harian X