Ahad, 28 Mei 2017 | 5:24pm
FARIDAH Abas, kini mampu menyediakan tempahan kuih koci dan talam dalam kuantiti yang lebih dari sebelumnya selepas menerima bantuan mesin. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

Jual kuih dalam talian hasil bantuan 1AZAM

AYER KEROH: Kecekalan seorang ibu tunggal mempelbagaikan sumber pendapatannya demi membesarkan enam anak perempuannya wajar dijadikan sumber inspirasi masyarakat.

Sejak kematian suami empat tahun lalu, Faridah Abas, 45, bertekad untuk menjalankan perniagaan menjual kuih tradisional dalam talian sebagai sumber pendapatan utamanya, selain mengambil upah sebagai pengasuh.

Malah, katanya, impak bantuan program 1AZAM Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang turut diterima awal tahun ini, meluaskan rezekinya dalam perniagaan kuih secara dalam talian.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan sebagai antara penerima bantuan peralatan membuat kuih dan peti sejuk kerana menyangka permohonan tiga tahun lalu ditolak.

"Selain menjual kuih talam dan koci setiap hari, sempena hari raya ini saya menjual kuih kapit kerana memiliki mesin baharu," katanya yang kini memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM2,000 sebulan.

Faridah mengakui bebanannya semakin berkurang hasil pendapatan yang meningkat, sekali gus dapat menampung persekolahan anak berusia antara enam hingga 23 tahun.

"Pendapatan menjual kuih dan tempahan kuih kapit untuk hari raya dapat menampung keperluan kami a beranak," katanya ketika ditemui di rumah sewanya, di sini.

Beliau turut menanggung anak Orang Kurang Upaya (OKU), Ainin Marina Arisham, 22, yang menggunakan lampin pakai buang.

Faridah berharap perniagaan secara kecil-kecilan itu berkembang maju dan membolehkannya menampung perbelanjaan anak yang kebanyakannya sudah memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

"Saya ingin membuktikan golongan ibu tunggal boleh berdikari dan mengubah hidup dengan bantuan 1AZAM," katanya.

87 dibaca
Berita Harian X