Isnin, 12 Januari 2015 | 4:22pm

Messi sangkal spekulasi perpindahan, kekal di Barca


PENYERANG Barcelona dan Argentina, Lionel Messi memegang trofi yang diterima daripada Persatuan Liga Bola Sepak Sepanyol (LFP) kerana memecah rekod jaringan di La Liga Sepanyol sebelum perlawanan liga menentang Atletico Madrid, awal pagi tadi. - Foto AFP

BARCELONA: Bintang Barcelona, Lionel Messi menolak spekulasi meminta supaya pengurus, Luis Enrique untuk dipecat atau berhasrat meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu dan berhijrah ke England.

Kapten Barca dan Argentina itu bersuara buat pertama kali selepas laporan mengenai hubungan dinginnya bersama Enrique tersebar luas dengan Messi didakwa tidak berpuas hati dengan gaya dan taktik pengurus itu.

Laporan itu pantas mencetus khabar angin mengenai kemungkinan penghijrahannya ke England dan dikaitkan dengan Chelsea dan Manchester City manakala televisyen di Catalan mendakwa Messi mendesak supaya Enrique dipecat.

"Saya tidak pernah meminta apa-apa untuk berada di sini kerana saya tidak pernah mahu pergi ke tempat lain," kata Messi di Barca TV selepas kemenangan 3-1 kelab itu ke atas Atletico Madrid, awal pagi tadi.

"Saya juga ada mendengar bapa saya sudah bercakap dengan Chelsea dan Man City namun ia hanyalah penipuan.

"Ada berita yang mengatakan saya mempunyai hubungan yang tidak baik dengan (Pep) Guardiola, (Samuel) Eto'o, (Zlatan) Ibrahimovic dan Bojan (Krkic) dan saya perlu menyingkirkan seseorang.

"Tidak mungkin ia adalah benar. Saya tidak pernah meminta mereka untuk membuang jurulatih atau perkara seperti itu. Tiada sebarang permusuhan di antara saya dengan Luis Enrique," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Memiliki status wira menerusi sumbangannya pada era paling berjaya buat Barcelona menjadikannya antara insan paling berkuasa di dalam kelab itu Messi menolak laporan yang mengatakan dia memiliki pengaruh atas keputusan yang penting.

"Saya penat mendengar perkara mengenai saya," kata Messi. "Mereka berkata saya menguruskan kelab ini sedangkan saya hanya seorang pemain. Saya tidak membuat sebarang keputusan, malah tidak meminta mereka untuk melakukannya.

"Ia menyakitkan kerana (berita itu) hadir daripada media yang bertapak di Barcelona dan bukannya dari Madrid. Ada ramai pihak mahu merosakkan kelab ini dan apa yang penting ialah kami bersatu kerana paling penting ialah perkara selepas ini," katanya. - Reuters

Berita Harian X