Isnin, 12 Januari 2015 | 4:27pm

Kembara Henry Golding di Jepun menerusi Welcome To The Railworld Japan

KETINGGIAN dan rupa paras yang dimiliki Henry Ewan Golding atau Henry Golding ini sudah boleh melayakkan beliau memilih bidang peragawan.

Tetapi bidang berkenaan tidak langsung diminatinya.

Tetapi jejaka kacukan Iban-Inggeris ini bertuah kerana wajah komersialnya turut menambat pihak produksi televisyen untuk mengetengahkan beliau sebagai pengacara.

Siapa sangka percutiannya ke Kuala Lumpur beberapa tahun lalu mengubah status dirinya.

Selepas lebih 15 tahun menetap di England, saluran 8TV membuka jalan untuknya menjadi pengacara.

Program 8TV Quickie menjadi pertaruhan serta percubaan pertamanya. Selain 8tv Quickie, saluran berkenaan kerap memilih beliau sebagai pengacara.

Antaranya menerusi program Without Boundaries dan Welcome To The Railword. Terbaru jejaka yang pernah memenangi kategori Hot Guy di Anugerah Shout! 2010 anjuran 8tv juga bakal muncul dalam program Welcome To The Railworld Japan bermula 15 Januari ini.

Henry juga pernah menghiasi rancangan ESPN dan E! News Asia! Sejak setahun lalu juga jejaka beliau bekerja sambilan untuk saluran British Broadcasting Corporation (BBC) beroperasi di United Kingdom.

"Saya bermula dengan 8tv. Jadi jasa saluran TV ini amat besar kepada saya. Malah tawaran untuk mengendalikan program Welcome To The Railway Japan juga saya tak mampu tolak kerana krew termasuk penerbit (Ahmad Khairi Zulkifli) sudah jadi teman akrab saya.

"Khairi sendiri sudah bersama saya menerbitkan program 8tv Quickie, Welcome To The Railworld, Without Boundaries dan terbaru untuk program ini pula. Keserasian kami itu sudah ada dan saya sendiri senang dengan produksi ini," katanya yang sangat teruja menantikan episod pertama Welcome To The Railworld Japan.

Dalam pada itu, Henry mengharapkan akan ada sambungan Welcome To The Railworld musim ketiga.

"Saya bangga dengan penerbitan program ini kerana produksi mewujudkan program istimewa yang dekat dengan hati saya dan harapnya untuk penonton nanti," katanya yang turut menetap di Singapura sejak dua tahun lalu.

Ditanya mengenai pembabitannya di BBC, Henry turut berbangga kerana berpeluang bekerja dengan syarikat penyiaran terkenal itu. Baginya peluang itu sekali gus dapat memanfaatkan apa yang dilakukannya selama ini.

Henry menjadi wakil dari Kuala Lumpur yang terbabit untuk The Travel Show yang diterbitkan BBC yang disiarkan di United Kingdom sejak Februari tahun lalu. Kini Henry terbabit untuk penggambaran dokumentari dipanggil Love Asia untuk Channel News Asia.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul berkata, program travelog sememangnya mempunyai peminat tersendiri.

"Siri pertama Welcome to the Railworld sememangnya mendapat sambutan yang cukup baik dari penonton dan saya percaya siri kedua ini juga mampu menarik perhatian penonton.

"Di samping itu, Jepun merupakan antara destinasi menarik untuk dikunjungi dan dengan kehadiran Welcome to the Railworld Japan ini saya harap sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan dan tips berguna untuk mereka yang ingin bercuti ke Jepun," kata Airin.

Penggambaran Welcome To The Railworld Japan berlangsung hampir dua bulan dari awal September hingga pertengahan Oktober tahun lalu. Travelog ini akan disiarkan 8TV setiap Khamis, jam 9.30 malam bermula 15 Januari ini.

Welcome To The Railworld Japan direalisasikan dengan kerjasama jitu Nippon Television dan Sumitomo Corporation yang beroperasi di Jepun. Ia kerjasama sulung Media Prima Primeworks Studios bersama dua syarikat berkenaan.

Program ini adaptasi produksi Jepun dari format asal Welcome to the RailWorld yang pernah disiarkan di 8TV sekitar 2010.

Program ini menyaksikan Henry sebagai pengembara merantau pelusuk Jepun seperti di Hokkaido, Tohuku, Kanto, Chubu, Kinki, Chugoku, Shikoku, Kyushu, Okinawa dan Tokyo dengan menaiki kereta api.

Selain mempromosikan kereta api itu sebagai sistem pengangkutan utama di Jepun, Henry turut akan memperkenalkan bakal penonton program ini nanti kepada lokasi menarik tumpuan pelancong, makanan dan budaya di negara matahari terbit itu.

Lokasi program yang bakal dimuatkan di dalam program ini turut dipilih serta disarankan dengan kerjasama Japanese Ministry of Tourism dan Japan Governmental Tourist Office (JNTO). Semestinya program ini turut akan menyerlahkan sistem pengangkutan keretapi yang terdapat di Jepun termasuk bullet train, Shinkansen.

Henry juga berpeluang melakukan pelbagai aktiviti menarik, menyelami budaya masyarakat Jepun yang sememangnya cukup unik serta mencuba pelbagai jenis hidangan lazat sepanjang berada di sana.

Program ini juga banyak berkongsi informasi berguna mengenai sistem kereta api di Jepun.

Saksikan travelog kereta api Welcome to the Railworld Japan bersama Henry Golding setiap Khamis jam 9.30 malam bermula 15 Januari ini di 8TV.

Tonton rancangan-rancangan kegemaran anda secara percuma di saluran di 8TV atau menerusi saluran 708. Anda juga boleh menonton rancangan-rancangan kegemaran anda menerusi www.tonton.com.my.

Berita Harian X