Isnin, 29 Mei 2017 | 1:27pm

MPay lancar ParcelPay, penghantaran dalam talian


PENGARAH Urusan Manage Pay Systems Berhad (MPay), Datuk Chew Chee Seng (kanan) bersama Pengurus Mastercard untuk Malaysia & Brunei, Perry Ong melancarkan MPay Mastercard di Hotel St Regis. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Managepay Systems Bhd (MPay) memperkenalkan ParcelPay, penyelesaian perkhidmatan penghantaran menyeluruh dan MPay Wallet dengan ciri terbaharu.

ParcelPay merangkumi ParcelPay Enterprise, ParcelPay CCOD dan ParcelPay Express.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Chew Chee Seng, berkata ParcelPay jauh ke depan berbanding penyelesaian penghantaran sedia ada di pasaran.

Katanya, sebagai sebuah syarikat pembayaran berlesen yang dipercayai, MPay berupaya menawarkan kemudahan penghantaran kepada pelbagai kategori pengguna, merangkumi korporat, perusahan kecil dan sederhana (PKS) serta individu.

"Dengan platform dalam talian, pelanggan boleh memilih untuk menghantar menggunakan syarikat penghantaran rakan kerjasama MPay, muat naik bungkusan pukal, mengesan status bungkusan dan menikmati diskaun kadar penghantaran," katanya.

Sementara itu, Chee Seng berkata, ParcelPay CCOD adalah menyediakan perkhidmatan penghantaran ketika kutipan (Collections on Delivery) merangkumi pengguna, syarikat penghantaran dan peruncit.

"ParcelPay CCOD menyokong kad Debit, Kredit dan Prabayar serta bayaran MPay Balance (e-wallet)," katanya.

Dalam pada itu, ParcelPay Express berfungsi sebagai perkhidmatan penghantaran logistik pihak keempat menerusi aplikasi MPay Wallet.

"ParcelPay Express dikukuhkan dengan sokongan penyedia kurier kami serta rakan kerjasama seperti Pos Malaysia, Skynet Worldwide dan Line Clear.

"Ia memudahkan dan menjimatkan masa pengguna. Mereka tak perlu beratur di pejabat pos untuk menghantar bungkusan," katanya.

Chee Seng berkata, ParcelPay kini giat menjalin kerjasama dengan lebih banyak penyedia perkhidmatan logistik untuk meluaskan perkhidmatannya di dalam dan luar negara.

INFO:

* Syarikat boleh mendaftar akaun ParcelPay Enterprise secara percuma di www.parcelpay.com.my

*ParcelPay Express boleh dimuat turun menerusi aplikasi MPay Wallet di Google Playstore atau Apple Appstore

106 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »