Isnin, 29 Mei 2017 | 2:12pm

'Datuk' dan 4 lagi Geng 24 didakwa

LIMA ahli Geng 24, termasuk seorang bergelar Datuk (berkemeja-T merah, depan), dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Georgetown, Pulau Pinang, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di negeri itu, sejak dua tahun lalu. - Foto Mikail Ong

GEORGETOWN: Lima ahli Geng 24, termasuk seorang bergelar Datuk didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Pulau Pinang, sejak dua tahun lalu.

Di hadapan Hakim Irwan Suaibon, tiga tertuduh, Datuk Koh Thiam Hua, 38; Chan Yi Heng, 22 dan Harry Tan Cheng Yu, 31, didakwa mengikut Subseksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Norsalha Hamzah, dua tertuduh, Lim Boon Hooi, 40 dan Toh Kae Luen, 26, didakwa mengikut pertuduhan sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dibuat semua tertuduh terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Kit, memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan ke atas semua suspek selepas mengambil kira penahanan semua suspek dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Norsalha dan Irwan kemudian membenarkan semua tertuduh tidak diikat jamin, selain menetapkan 5 Julai ini untuk mendapatkan kebenaran memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Tertuduh, Thiam Hua diwakili peguam Mohd Zulfiqri Zakaria; Yi Heng diwakili peguam V S Raveentharan dan Kae Luen diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid, manakala dua tertuduh lagi tidak diwakili peguam.

Berita Harian X