Isnin, 29 Mei 2017 | 5:03pm

Rusdi Ramli rindu berlakon

KUALA LUMPUR: Sibuk di kerusi pengarah membuatkan pelakon, Rusdi Ramli, 47, terpaksa menolak tawaran biarpun hatinya rindu untuk kembali ke set dan menghidupkan watak dalam projek filem mahupun drama.

Rusdi yang muncul dengan drama kedua arahannya berjudul Mr Stalker Saya Cintakan Awaklah! mengaku tidak ada masa untuk berlakon.


PENGARAH, Rusdi Ramli. - Foto Khairul Azhar Ahmad

"Ada tawaran datang dan sayapun rindu hendak berlakon.

"Tetapi saya sibuk dengan kerja mengarah, selain terpaksa 'mengajar' pelakon, jadi saya terpaksa tolak," katanya kepada BH Online.

Rusdi memberitahu, banyak masa yang digunakan untuk 'mengajar' bakat baharu di set setiap kali hendak memulakan penggambaran.

"Kebanyakan pelakon generasi muda lebih suka datang ke set tanpa membuat persediaan. Bagi mereka, sebelum memulakan penggambaran, ada kelas lakonan.

"Saya kasihan melihat pelakon lama yang dulunya hebat. Ini kerana mereka tidak perlu diajar cara berlakon, tetapi malangnya, tidak ada tawaran sekarang," katanya.

Rusdi yang sudah lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni melihat industri tempatan jauh bezanya dengan luar negara.

"Di luar negara, pelakon lama ini masih jadi hero sehingga dibayar mahal kerana kehebatan lakonan mereka, tetapi di negara ini, terbalik," katanya.

Drama Mr Stalker Saya Cintakan Awaklah! yang menampilkan Shahz Jaszle, Putra Amaris dan Mona Allen disiarkan HyppSensasi HD setiap hari mulai Sabtu lalu.

253 dibaca
Berita Harian X