Isnin, 29 Mei 2017 | 8:37pm

AIM bantu suri rumah jadi usahawan


ROSNANI menyusun barang di kedai runcitnya di Kampung Sundang, Batu Sapi, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN:  Bermula dengan membuka gerai kecil menjual barangan runcit di tepi jalan, Rosnani Batiang, 43, dari Kampung Sundang, di Batu Sapi, dekat sini, kini bergelar usahawan apabila kedai runcit diusahakannya bertambah maju sehingga mampu menyara enam anak.

Selain menambah keluasan kedai, Rosnani yang sudah 19 tahun menjadi usahawan kini mampu menghantar anaknya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Semua itu dikecapi Rosnani, hasil titik peluhnya selain bantuan modal menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berperanan membantu golongan kurang berkemampuan khususnya di luar bandar menerusi pembiayaan terhadap kegiatan menambahkan pendapatan.

Rosnani ketika ditemui BH berkata, dia memulakan perniagaan menjual barangan runcit secara kecil-kecilan pada 1998, selepas kilang pembalakan tempat suaminya bekerja di Beaufort, ditutup.

Kesempitan hidup

Ketika itu, mereka hidup dalam kesempitan dengan suami hanya dipanggil bekerja seminggu dalam sebulan mendorongnya menanam tekad untuk memulakan perniagaan.

"Kilang beri pampasan sebanyak RM2,000 dan wang itu kami gunakan untuk membuka kedai, tetapi cuma gerai kecil di tepi jalan.

"Pendapatan masih tidak memadai untuk menampung kehidupan dan sekolah anak sebab ramai pelanggan lari tak bayar hutang menyebabkan kami hampir gulung tikar," katanya.

Rosnani berkata, kehidupan mereka berubah sedikit demi sedikit apabila dia mula mendapat bantuan AIM bagi meneruskan perniagaan dengan pinjaman pertama dibuat sebanyak RM2,500.

Hasil ketekunan selain patuh membayar pinjaman setiap minggu, Rosnani berkata, dia dibenarkan untuk melanjutkan pinjaman.

"Sehingga ke hari ini, saya sudah membuat pinjaman lebih RM200,000 daripada AIM. Saya bersyukur kerana jika bukan bantuan kerajaan, tentu kehidupan kami sekeluarga tidak sebaik sekarang," katanya.

Rosnani kini merancang untuk membesarkan perniagaan dan berpindah ke kedai lebih besar dan kukuh berbanding hanya kedai papan bagi memudahkannya menerima bekalan barangan daripada pemborong.

54 dibaca
Berita Harian X