Selasa, 30 Mei 2017 | 6:34pm

Pendapatan Sedania Innovator meningkat


Pengarah Urusan Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Sedania Innovator Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM200,000 pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2017, berbanding kerugian bersih RM800,000 tempoh sama tahun lalu.

Ia diraih daripada pendapatan yang melonjak 243.3 peratus kepada RM6.1 juta berbanding RM1.8 juta suku sebelumnya.

Sedania Innovator dalam satu kenyataan berkata, peningkatan itu disumbang suntikan rangsangan daripada perniagaan baharu dalam segmen internet kepelbagaiguna (IoT) dan teknologi hijau (GreenTech) yang masing-masing RM3 juta dan RM1.6 juta.

Katanya, pengukuhan pendapatan syarikat disuntik menerusi anak syarikat milik penuh Sedania Innovator, IDOTTV Sdn Bhd (IDOTTV).

IDOTTV Disember tahun lalu memeterai perjanjian perkongsian strategik dengan Iscada Net Sdn Bhd (IS.NET) bagi kerjasama menyediakan peranti pintar IoT bagi membolehkan sambungan segera antara bangunan.

Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata pihaknya mencatat perkembangan memberangsangkan dalam perkhidmatan IoT dan menepati jadual melengkapkan pemasangan peralatan IoT di 6,000 bangunan utama menjelang akhir 2017.

"Bagi merancakkan lagi pertumbuhan syarikat, kami juga dalam proses untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam platform teknologi kewangan (FinTech) patut syariah, As-Sidq," katanya.

Dengan jaminan keuntungan RM1.5 juta setahun untuk tempoh dua tahun bermula 2017, pengambilalihan itu menjamin aliran kewangan syarikat akan kekal positif untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun mendatang.

Berita Harian X