Rabu, 31 Mei 2017 | 12:50am

Bantuan 1Azam ubah kehidupan ibu tunggal


FAUZIYATUL Akma menunjukkan karipap sejuk beku yang diusahakan di Jalan Peramu-Kuantan, Tanjung Lumpur, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Program 1Azam yang diperkenalkan sejak 2010, mengubah kehidupan ibu tunggal, Fauziyatul Akma Abd Rahman yang mengusahakan gerai karipap panas di Jalan Peramu-Kuantan, Tanjung Lumpur, di sini.

Fauziyatul Akma, 49, yang mula berniaga di situ sejak tujuh tahun lalu, menerima bantuan mesin pengadun dan peti sejuk beku menerusi program berkenaan pada 2012.

"Saya bersyukur terpilih menyertai program 1Azam yang tujuannya untuk bantu golongan seperti saya meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan, sebelum dapat bantuan sedemikian, saya hanya boleh menjual karipap secara kecil-kecilan sahaja dan tidak boleh buat produk sejuk beku macam sekarang.

"Pendapatan ketika itu masih boleh dikira sangat memuaskan, namun selepas menerima bantuan (1Azam), memang berbeza juga (pendapatan) diperoleh.

Proses 10kg tepung sehari

"Setiap hari, saya dengan bantuan tiga pekerja memproses lapan hingga 10 kilogram tepung gandum bagi menghasilkan empat jenis karipap dan temosa untuk jualan harian serta produk sejuk beku," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ibu kepada sepasang anak berusia 21 dan 25 tahun itu, berkata setiap hari mereka menyediakan empat jenis karipap iaitu karipap kentang, inti daging, ayam dan keju yang dijual pada harga 50 sen sebiji.

Mereka turut membuat dua jenis temosa, iaitu temosa biasa dan temosa diraja yang turut mendapat sambutan baik pelanggan.

"Sekitar 2012, saya ada menggunakan laman sosial Facebook untuk mempromosi produk dihasilkan dan ia menerima reaksi positif pelanggan dari Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur untuk menikmati keistimewaan karipap di gerai ini," katanya.

Fauziyatul Akma berkata, setiap minggu beliau mampu memperoleh pendapatan RM500 hanya untuk produk sejuk beku dihasilkan yang ditempah pelanggan.

Katanya, secara purata perniagaan diusahakan itu dapat memberikan pulangan bersih sekitar RM5,000 sebulan.

"Dahulu saya ada bercadang nak buka cawangan baharu, namun sekarang ini susah sikit sebab tidak ada yang membantu memandang anak perempuan sulung saya sudah mendirikan rumah tangga, manakala yang lelaki sudah bekerja.

"Buat masa ini, saya hanya tumpukan dengan gerai sedia ada dan jika ada pekerja yang boleh diharapkan, saya akan pertimbangkan semula idea untuk buka cawangan lain selepas ini," katanya.

Gerai yang berada di laluan utama menghala bandar Kuantan itu tidak dibuka sepanjang Ramadan dan pelanggan yang ingin mencuba karipap panas Peramu hasil resepi turun temurun keluarga Fauziyatul Akma boleh ke Bazar Ramadan Peramu, dekat Jalan Tanjung Lumpur-Sungai Soi.

Info

  • Program 1Azam diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka.
  • Terdapat 4 jenis program di bawah 1Azam iaitu Azam Kerja, Azam Niaga, Azam Khidmat dan Azam Tani.
  • Setiap projek mempunyai fokus berbeza bergantung kepada keperluan peserta bagi membantu mereka keluar dari paras kemiskinan.
83 dibaca
Berita Harian X