Rabu, 31 Mei 2017 | 12:56pm

MBI tawar diskaun kompaun 75 peratus

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan potongan sebanyak 75 peratus pembayaran kompaun sempena Sambutan Hari Bandaraya Ipoh ke-29 dan Ramadan bermula esok hingga 14 Jun ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata diskaun kompaun membabitkan kesalahan trafik dan lalulintas yang dikeluarkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (peruntukan tempat letak kereta) MBI.

"Tawaran diskaun ini bertujuan membantu meringankan beban warga kota untuk melangsai dan menjelaskan semua bayaran tertunggak selama ini. 

"Sekiranya peluang ini tidak digunakan sebaik mungkin, MBI tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman terhadap semua pesalah tegar ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBI di sini.

Zamri berkata, potongan kompaun hanya diberikan untuk kesalahan berkaitan tidak mempamerkan kupon atau meletakkan kenderaan di luar petak sahaja. 

"Bagi kesalahan lain, ia adalah tertakluk kepada diskaun dan prosedur pengurangan sedia ada," katanya.

Beliau berkata, untuk semakan pelanggan boleh terus ke Kaunter 1 Serve di lobi MBI manakala pembayaran boleh dibuat di kaunter bayaran ibu pejabat MBI dan di beberapa kaunter lain di Jalan Bandar, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak dan Kaunter Pandu Masuk MBI.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak RM31 juta keseluruhan jumlah kompaun yang terkumpul sejak tahun 2013 sehingga kini.

242 dibaca
Berita Harian X