Rabu, 31 Mei 2017 | 5:05pm

CCC pelengkap transformasi Cyberjaya

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Ketua Setiausaha Perbandaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar (kiri) dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din (kanan) di Majlis pelancaran Bandar Pintar Cyberjaya di Cyberjaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

CYBERJAYA: Pembangunan Cyberjaya City Centre (CCC) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11 bilion bakal melengkapkan transformasi Cyberjaya sebagai hab teknologi global dan bandar pintar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata projek pembangunan bersama antara Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) itu adalah projek pembangunan berimpak tinggi yang menjadi kunci utama pelaburan di Cyberjaya.

Katanya projek itu bakal menyediakan satu ekosistem yang sempurna serta menjadi lokasi yang sesuai didiami membabitkan pembangunan bercampur merangkumi pembinaan pusat konvensyen, pangsapuri khidmat, ruang perniagaan runcit dan unit pejabat.

"Saya difahamkan kerja pembangunan untuk fasa pertama sedang pesat dijalankan dan pusat konvensyen dan hotel bakal siap seperti dijadualkan pada 2019.

"Saya ingin tegaskan bahawa untuk mencapai aspirasi nasional, pembabitan pelbagai pihak memainkan peranan yang cukup penting. Tiada jalan pintas untuk menjadi sebuah negara maju melainkan setiap daripada kita mengambil peluang yang ada untuk menyumbang ke arah matlamat besar ini.

"Ingin saya ingatkan salah satu fokus utama kita pada ketika ini adalah mendepani cabaran dan mengambil kesempatan terhadap pertumbuhan ekonomi digital yang semakin pesat," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bandar Pintar Cyberjaya di sini, hari ini.

Projek CCC merangkumi keluasan keseluruhan berjumlah 21.2 hektar dengan nilai pembangunan kasar fasa pertama dianggarkan sebanyak RM5.3 bilion.

Berita Harian X