Rabu, 31 Mei 2017 | 9:24pm

16 kompaun terhadap peniaga bazar Ramadan

ROSNAZLI bersama Dr Faizan (kanan) menyampaikan bekas makanan kepada peniaga ketika membuat tinjauan di Bazaar Ramadan Wakaf Bharu. - Foto Faris Zainuldin

TUMPAT: Sebanyak 16 kompaun sudah dikeluarkan terhadap peniaga bazar Ramadan di daerah ini yang melanggar peraturan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat, Rosnazli Mohd Amin, berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai apron, topi, memakai barang kemas (cincin), tidak menggunakan bekas jualan makanan yang bertutup serta mengabaikan kebersihan sekitar gerai.

"Terdapat empat bazar Ramadan di daerah Tumpat, membabitkan 215 peniaga di Wakaf Bharu, Chabang Empat (60), Bandar Tumpat (30) dan Geting (27).

"Peniaga yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan akan diberikan notis dan kompaun antara RM100 hingga RM1,000, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Bazaar Ramadan Wakaf Bharu, sebentar tadi.

Tinjauan itu turut disertai pihak Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat yang diketuai Pegawai Kesihatan, Dr Faizan Ghazali, yang mengedarkan bekas plastik dan apron kepada peniaga.

Rosnazli berkata sepanjang tempoh Ramadan ini, peniaga menitikberatkan faktor kebersihan makanan yang dijual dan sehingga ini belum terdapat sebarang aduan dilapor oleh pengguna.

"Kita menitikberatkan faktor kebersihan kerana produk yang dijual adalah makanan dan kita tidak mahu pembeli membeli makanan yang hanya nampak menarik tapi tidak elok.

"Kita tidak akan berkompromi dengan penjual yang tidak mengamalkan kebersihan, malah jika terdapat aduan dari pengguna, kami tidak teragak-agak untuk membuat siasatan ke lokasi pembuatan," katanya.

Berita Harian X