Rabu, 31 Mei 2017 | 10:16pm
ANAK benih padi yang tumbuh selepas isu tanah jerlus dan air bertakung akibat daripada tiada saliran air keluar dan masuk sejak 10 tahun dahulu selesai inisiatif daripada Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang telah mengambil alih di Kampung Alor Senibong. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

1,983 petani raih pendapatan lumayan hasil NTP


MOHD Musa (dua dari kiri) bersama Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan B3 menunjukkan rumah pam yang baru di Kampung Alor Senibong. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Peningkatan pendapatan sehingga lebih RM1,700 bagi setiap relung atau 0.28 hektar semusim.

Itulah yang diraih petani di sini, selepas Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) membaik pulih tanah mereka yang juga tanah jerlus melalui Program Transformasi Nasional (NTP).

Sebelum ini, 1,983 petani dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B3 Alor Senibong, dekat sini, hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM750 serelung bagi setiap musim akibat masalah tanah berkenaan.

Tingkat ekonomi keluarga

Bagaimanapun, selepas kerajaan memperuntukkan RM3.7 juta melalui NTP bagi membaiki tanah jerlus berkenaan, mereka kini mampu tersenyum lebar apabila memperoleh pendapatan sekitar RM2,500 bagi setiap relung, sejak program baik pulih itu selesai sepenuhnya, dua tahun lalu.

Petani, Mohd Musa Kamis, 68, berkata sebelum proses baik pulih tanah jerlus itu dilaksanakan, mereka hanya mampu mendapat hasil kira-kira setengah tan yang bersamaan dengan nilai RM750 bagi setiap relung, tetapi kini berupaya memperoleh satu setengah tan dengan nilai RM2,500.

"Kami bersyukur atas keprihatinan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tanah yang dulunya umpama padang jarak padang tekukur kini sudah boleh dikerjakan sekali gus mendatangkan hasil lumayan. Kini sudah empat musim kami menikmati faedah daripada kejayaan projek ini," katanya.

"Malah kami mampu hidup selesa dengan pendapatan yang boleh dibanggakan," katanya.


MOHD Musa (kiri) bersama Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan B3 menunjukkan kawasan tali air yang dinaiktaraf di Kampung Alor Senibong, Alor Setar. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Katanya, sepanjang ketidakupayaan petani di sini untuk mengerjakan sawah, mereka hanya mengharapkan pendapatan daripada hasil lain seperti berkebun dan apa yang disumbangkan anak.

Mohd Musa yang pernah menduduki kerusi Pengerusi PPK Alor Senibong, berkata kehidupan mereka pada waktu itu serba sederhana tanpa pernah mengimpikan kehidupan yang mewah.

"Dulu hidup sekadar apa yang ada... sekarang ini dengan pelbagai program transformasi termasuk NTP, boleh dikatakan taraf ekonomi pesawah cukup berbeza... ada yang sudah memiliki kereta.

"Macam saya, duit hasil peningkatan dari usaha bersawah padi dapat saya himpun untuk menunaikan ibadah umrah dan melancong," katanya.

Menjadi pesawah sejak berusia 17 tahun, Mohd Musa berkata, generasi muda petani pada masa ini beruntung kerana infrastruktur sawah padi dinaik taraf oleh kerajaan.

Katanya, ia termasuk sistem saliran yang sudah diperbaiki, pelbagai subsidi ditawarkan dan kemudahan jalan yang baik bagi memudahkan urusan mengerjakan sawah.

27 dibaca
Berita Harian X