Khamis, 1 Jun 2017 | 9:27am

Skandal Clinton modal Duterte balas kecaman Chelsea

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, semalam membalas kecaman dilemparkan anak bekas Presiden Bill Clinton, berhubung jenakanya mengenai rogol.

Duterte bertindak balas dengan mempersoalkan sama ada anak bekas presiden AS itu turut marah mengenai hubungan bapanya dengan seorang pelatih Rumah Putih.

Duterte berang dengan status Twitter, Chelsea Clinton hujung minggu lalu, menggelarnya - 'pembunuh samseng yang tidak mengambil kira hak asasi manusia.'

Kenyataan rogol Duterte dibuat pada ucapan Jumaat lalu bertujuan memberi jaminan kepada anggota tentera beliau akan memikul tanggungjawab sepenuhnya kepada sebarang kritikan terhadap undang-undang tentera, yang dilaksanakan minggu lalu di Mindanao.

Duterte menegaskan tidak bertolak ansur dengan penderaan tetapi berjenaka jika anggota tentera merogol wanita, beliau yang akan mengaku melakukannya.

Pemimpin celupar itu dikenali dengan komen yang dilihat menghina oleh sesetengah pihak, tetapi dipandang ringan oleh rakyat negara itu.

Merujuk kepada hubungan sulit Clinton dengan Monica Lewinsky pada 1990-an, Duterte mengecam semula Chelsea dan berkata beliau bercakap secara sarkastik mengenai rogol dan tidak berjenaka mengenainya.

"Saya tidak berjenaka, saya cuma sarkastik. Saya akan memberitahu Chelsea, ketika bapanya, presiden AS ketika itu, menjalin hubungan sulit dengan Lewinsky, apa yang dirasakannya? Adakah beliau mengecam bapanya?" - Reuters

Berita Harian X