Khamis, 1 Jun 2017 | 3:31pm

'Putih' dijumpai dalam perigi lama

ANGGOTA bomba menyelamatkan kambing yang terjatuh ke dalam perigi lama di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson, pagi tadi. - Foto Mohd Khidir Zakaria
ANGGOTA bomba menyelamatkan kambing yang terjatuh ke dalam perigi lama di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson, pagi tadi. - Foto Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Anggota bomba terpaksa dipanggil untuk menyelamatkan 'Putih' yang terjatuh ke dalam perigi lama di Kampung Sri Parit, Lukut di sini, pagi tadi.

Kambing berusia 18 bulan itu berjaya diselamatkan oleh enam anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Mohd Ariff Bokhari, dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson.

Mohd Ariff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.55 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kambing itu dari perigi dengan menggunakan tali.

Pemilik 'Putih', Nurhazawanie Redzuan, 21, berterima kasih kepada anggota bomba yang membantu menyelamatkan kambingnya yang tidak mengalami sebarang kecederaan dan memberitahu ini adalah kali pertama, ternakannya terjatuh ke dalam perigi itu.

Katanya, kambing betina itu disedari hilang, kira-kira jam 6 petang semalam, apabila dua ekor anak 'Putih' yang berusia dua bulan berbunyi bising dan apabila diperiksa, ternakan itu tiada dalam kandang.

"Usaha mencari kambing itu di kawasan sekitar rumah menemui kegagalan dan dihentikan apabila keadaan bertambah gelap.

"Kira-kira jam 10 pagi tadi, saya terdengar bunyi seperti 'Putih' mengembek dan apabila memeriksa kawasan semak berhampiran rumah, saya terkejut menemui kambing itu dalam perigi lama," katanya yang mempunyai 28 ekor kambing.

Katanya, keadaan 'Putih' yang kelihatan lemah menyebabkannya segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson untuk membantu mengeluarkan ternakannya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X