Khamis, 1 Jun 2017 | 6:05pm

3 ditahan tak puasa

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan tiga lelaki dewasa beragama Islam, termasuk dua warga Bangladesh kerana didapati tidak berpuasa dalam Ops Tinjau di premis makanan sekitar negeri ini, hari ini.

Dalam operasi hari keenam bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu, tiga lelaki berusia 20 hingga 49 tahun itu masing-masing ditahan di restoran dan gerai makan sekitar bandar raya ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani, berkata tangkapan pertama pada kira-kira jam 11 pagi membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di sebuah gerai makan di kawasan kilang di Cheng di sini.


KETUA Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIM, Rahimin Bani. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Dua lelaki Bangladesh berusia 20 dan 24 tahun itu pula ditahan pada jam 12 dan 1 tengah hari masing-masing di restoran nasi kandar di Taman Mutiara Melaka Baru dan kedai makan bukan Muslim di Bukit Baru," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan itu diberikan notis saman dan diminta hadir ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (Seksyen 49) kerana menjual makanan dan makan di bulan Ramadan.

Berita Harian X