Khamis, 1 Jun 2017 | 11:15pm
Pasar di Kuching menjual terubok. - Foto hiasan

Aplikasi laman sosial bantu usahawan terubok

KUCHING: Tiada lagi istilah berniaga dari 8 pagi hingga 6 petang bagi usahawan ikan terubok di negeri ini, selepas mengaplikasikan penggunaan internet untuk memasarkan produk ke pasaran antarabangsa.

Melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu, peniaga boleh berniaga tanpa mengira waktu serta mampu menjual 5,000 ikan terubok dalam sebulan dan hasil jualan berkenaan mencecah sehingga RM1,000 sehari.

Usahawan Terubok Sarawak, Sabri Mohd Sahari, 56, atau lebih dikenali sebagai Pak Brahim, menyifatkan usaha dilaksanakan kerajaan menerusi penekanan ekonomi digital berpotensi besar menjadi pemangkin baharu bagi perniagaan ikan terubok di Sarawak.

"Berbekalkan 13 pekerja, saya menggunakan sepenuhnya aplikasi Facebook, WhatsApp dan Instagram melakukan promosi sehingga ke Jepun dan Korea Selatan," katanya ketika ditemui di Medan Niaga Satok (MNS), di sini baru-baru ini.

Sabri berkata, sedekad lalu perniagaan ikan terubok hanya dijalankan di kedai tetapi sejak pelaksanaan Program Transformasi Nasional (NTP), pasaran ikan terubok sudah menembusi pasaran antarabangsa.

Ikan terubok dijual Pak Brahim diperoleh dari Sadong Jaya, Sebuyau, Lingga dan Daro dengan harga antara RM10 hingga RM40 bergantung kepada saiz ikan, manakala ikan terubok import dari Myanmar dijual pada harga tiga ekor RM10 dan dua ekor RM10 bergantung pada saiz.

30 dibaca
Berita Harian X