Khamis, 1 Jun 2017 | 11:30pm

3 sindiket dadah tumpas, 10 lelaki ditahan


Anggota Special Tactical Intelligence Narcotics Group (STING) mengawal sebahagian dadah yang dipecayai syabu dan sebahagian barang makmal untuk membuat dadah syabu yang berjaya dirampas dengan nilai RM 15.5 juta di sidang akhbar rampasan dadah di sekitar kawasan Bukit Jalil. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan tiga sindiket mengedar kokain ke negara ini, selain menyeludup keluar syabu serta pil Erimin 5 ke Medan, Indonesia, semalam.

Hasil serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Pulau Pinang, ibu negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), polis menahan 10 lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4 juta.

Dalam serbuan pertama yang turut membabitkan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), di Simpang Ampat, Bukit Mertajam dan Jelutong, Pulau Pinang, sekitar jam 6 petang, berdasarkan maklumat awam dan risikan.

Susulan itu, polis menahan enam lelaki dan merampas 20 kilogram (kg) syabu serta 7,800 biji pil Erimin 5, dianggarkan berjumlah RM1.6 juta yang dipercayai akan diseludup ke Medan, Indonesia, untuk dipasarkan di negara berkenaan.

Serbuan kedua membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 24 tahun, berasal dari Sungai Petani, Kedah, yang dipercayai keldai dadah ditahan di Balai Ketibaan KLIA, pada jam 9 malam.

Lelaki terbabit didapati menyeludup masuk 181 kapsul dadah kokain seberat 3.33kg bernilai RM800,000 yang disembunyikan dalam balang makanan coklat berjenama.

Serbuan ketiga dilakukan di Pangsapuri Sri Bandar Besi, Jalan Sungai Besi, di sini, pada jam 9.15 malam selepas polis menahan tiga lelaki di lokasi berasingan.

Pemeriksaan di kediaman itu membawa kepada penemuan 19kg syabu bernilai lebih RM1.5 juta.

Tangkapan ini juga hasil perkongsian maklumat antara JSJN dan rakan setugas mereka dari Brazil, Togo serta Thailand.

Siasatan mendapati sebahagian daripada 10 tangkapan terbabit mempunyai rekod lampau berhubung kes dadah dan jenayah, manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, turut merakam penghargaan terhadap kejayaan JSJN dan STING yang menumpaskan tiga sindiket berkenaan menerusi akaun Twitter miliknya.

Berita Harian X