Rabu, 27 Ogos 2014 | 1:02pm

Syarikat Jepun dan Malaysia kerjasama keluarkan siri animasi

TOKYO: Creatvtoon Studios Sdn Bhd (Creatvtoon), sebuah syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) bekerjasama dengan syarikat isi kandungan Jepun, P.I.C.S. Co Ltd (P.I.C.S.) untuk mengeluarkan siri animasi.

Memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama itu dimeterai di sini hari ini antara Ketua Pegawai Eksekutif P.I.C.S, Shinichiro Nakaso dan pengasas/pengarah Creatvtoon, Ayie Ibrahim.

Shinichiro berkata, kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat untuk mengeluarkan kandungan kreatif yang akan menggunakan cerita dari Malaysia dan Jepun.

Ayie pula berkata, syarikat berharap kerjasama itu menjadi asas kepada Creatvtoon untuk mengukuhkan tapak di peringkat antarabangsa.

Creatvtoon, syarikat animasi 2D yang ditubuhkan pada 2010 terbabit dalam bidang animasi, kandungan kreatif dan latihan.

Syarikat itu sebelum ini memenangi beberapa anugerah termasuk Animasi 2D Terbaik dan Pengarah Animasi Terbaik di Anugerah Animasi Malaysia 2011.

Terbitan terkini syarikat itu adalah siri Zerohero yang akan disiarkan tahun depan.

P.I.C.S., sebelum ini anak syarikat MTV Japan, sebelum menjadi entiti bebas pada tahun 2000 dengan pembabitan aktif dalam pengeluaran iklan untuk filem dan televisyen, muzik video, filem untuk medium internet, konsert video, drama televisyen dan filem cereka.

Syarikat itu sekarang adalah sebahagian daripada kumpulan pengeluar filem, Imagica Robot Holdings yang turut mengeluarkan isi kandungan kreatif untuk syarikat produksi di Iskandar Malaysia, Johor.

Kerjasama antara P.I.C.S. dan Creatvtoon adalah hasil inisiatif Multimedia Development Corporation (MDeC) di bawah Dasar Industri Kreatif.

"Kerjasama ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia mengeluarkan isi kandungan kreatif bermutu tinggi sejajar dengan Dasar Industri Kreatif," kata Naib Presiden, Multimedia Kreatif MDeC, Kamil Othman. - BERNAMA

Berita Harian X