Jumaat, 2 Jun 2017 | 3:04pm

Sikap mesra pemain Vingada beri aura positif

NELO Vingada (tengah) bersama sebahagian pemain menjalani latihan di Pusat Latihan tertutup Dato Suleiman Mohd Noor, padang Seri Gelam. - Foto Mohd Azren Jamaludin
NELO Vingada (tengah) bersama sebahagian pemain menjalani latihan di Pusat Latihan tertutup Dato Suleiman Mohd Noor, padang Seri Gelam. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Sikap mesra pengendali baharu Harimau Malaya, Nelo Vingada sepanjang sesi latihan memberi kesan positif kepada pemain yang tampak memahami kehendaknya dalam persiapan menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2019.

Ini diakui penyerang negara, Safee Sali yang jelas teruja dengan pendekatan Vingada yang sering berkomunikasi dengan setiap pemain bagi mengetahui kehendak mereka ketika sesi latihan, sekali gus memudahkan tugas melaksanakan program latihan.

Menurut penyerang PKNS FC itu, dia tertarik dengan pendekatan pengendali dari Portugal itu dalam sesi perjumpaan dengan pemain pada hari pertama sesi latihan kerana lebih gemar berkomunikasi dan mendengar pandangan pemain.

"Selepas beberapa hari menjalani latihan di bawah kendalian Vingada, saya rasa sudah dekat dengan jurulatih itu, malah beliau adalah jurulatih berpengalaman dan semestinya pendekatannya tampak mesra pemain.

"Beliau sudah melatih beberapa pasukan ternama dan rekod baik yang dimiliki bakal membantu bola sepak negara untuk meningkat. Beliau cukup bersemangat untuk membimbing mana-mana pasukan.

"Sebagai pemain, kami sedia bekerjasama untuk memantapkan skuad dan kita tahu hanya berbaki kurang dua minggu saja lagi sebelum berdepan Lubnan," katanya.

Safee yang meraih kap pertama dan meledak gol sulung bersama skuad kebangsaan pada 2006 ketika menentang New Zealand mahu kembali konsisten apabila menyarung jersi Harimau Malaya.

Katanya, perancangan latihan yang dibuat Vingada tampak berperingkat dan jurulatih itu memahami situasi berlatih di bulan Ramadan dengan tidak menumpukan kepada latihan berat, sebaliknya lebih terarah membentuk persefahaman antara pemain.

"Saya jangkakan latihan taktikal akan dipraktikkan sebaik saja 11 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menyertai kem latihan esok," kata Safee merujuk kepada baki pemain yang akan melengkapkan senarai 26 pelatih skuad kebangsaan.

Berita Harian X