Jumaat, 2 Jun 2017 | 4:08pm

Anwar lebih layak berbanding Tun M jadi PM


BEKAS Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri disifatkan sebagai lucu dan menggambarkan kerakusan pemimpin itu untuk kembali berkuasa.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya memiliki satu kerusi Parlimen.

Beliau berkata, dengan jumlah kerusi Parlimen PKR yang lebih banyak, Datuk Seri Anwar Ibrahim jauh lebih layak untuk menjadi Perdana Menteri Ketujuh berbanding Dr Mahathir, yang juga Penasihat PPBM.

Beliau yang juga pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merangkap bekas Ketua PKR Cabang Rembau, berkata Dr Mahathir perlu mengisytiharkan kawasan yang hendak ditandingi jika berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri semula.

"Mahathir belum tentu menang bertanding sudah berangan menjadi Perdana Menteri semula... dengan rekod rasuah dan jenayah pentadbiran yang tidak terjawab, Mahathir akan kalah walaupun bertanding semula di Kubang Pasu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan jawatan Perdana Menteri jika cadangan itu dikemukakan pemimpin Pakatan Harapan.

Selain itu, Badrul Hisham berkata, selaku Presiden PKR dengan rekod integriti serta pengalaman, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah calon paling sesuai selaku Menteri Kewangan dalam Kabinet bayangan Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Pakatan Harapan tidak tandus kepemimpinan yang berjuang selama ini dan layak berada dalam Kabinet. Saya juga difahamkan selaku Presiden Parti Amanah Negara, Mohammad Sabu akan dilantik sebagai Menteri Pendidikan," katanya.

Berita Harian X