Sabtu, 3 Jun 2017 | 11:17am
JURUTERA MMC-Gamuda, Noor Affida Raffika Mohamad Nazari.
JURUTERA Kanan MMC-Gamuda, Ahmad Faizuddin Abu Bakar.

Menyingkap tabir operasi, petugas stesen MRT

JURUTERA pembinaan stesen MRT bawah tanah yang menyelenggara kerja-kerja terakhir bagi Fasa Kedua sistem pengangkutan itu sebelum di buka secara rasmi Julai ini.

KUALA LUMPUR: Kelancaran operasi Transit Aliran Massa (MRT) menyusuri ibu kota adalah hasil komitmen petugas merangkumi pelbagai bidang bagi membangunkan sektor pengangkutan awam bertaraf dunia.

Cerita mereka jarang didengari, namun jika diselami ia seakan mewarnai industri pembinaan infrastruktur kerana bakat dan kemahiran yang dipupuk menerusi pelbagai projek akhirnya menjadi aset bernilai kepada negara.

Sehubungan itu, merintis arus pemodenan, jajaran pertama MRT merangkumi perjalanan dari Sungai Buloh ke Kajang tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sentuhan tenaga pakar tempatan yang ketika ini giat 'diintai' negara luar.

Mengimbas sorotan perjalanan sebelum menjadi jurutera, Noor Affida Raffika Mohamad Nazari, 29, menyimpan cita-cita untuk menerajui pembinaan bangunan pencakar langit dan pengangkutan awam berteraskan teknologi canggih.

Kini, anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini mampu berbangga kerana menjadi Ketua Bahagian yang ditugaskan untuk memantau keseluruhan operasi stesen MRT KLCC East, jajaran Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya bagi pihak pengurusan MMC-Gamuda.

"Menjadi penerima biasiswa Gamuda, saya amat teruja untuk menamatkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan mengejar cita-cita menjadi jurutera dengan mengendalikan pembinaan berkelas dunia.

Persekitaran bekerja mencabar

STESEN MRT Cochrane ketika dalam pembinaan, manakala gambar kanan stesen yang siap sepenuhnya menghubungkan dengan IKEA MyTown Cochrane.

"Sebulan pertama ditugaskan di Stesen MRT Maluri pada 2012 mengajar saya pelbagai pengalaman kerja dan menjadi tempoh pengenalan yang sangat menarik kerana perlu menterjemahkan teori yang dipelajari dari universiti ke lapangan dan juga mengadaptasi dengan persekitaran bekerja yang mencabar ini.

"Berkat kesungguhan dan bantuan rakan sekerja, saya kini mampu menyelia keseluruhan operasi, termasuk mencatur pelan teknikal, memperincikan reka bentuk serta menjaga keselamatan pekerja," katanya.

Sepanjang tempoh lima tahun, Noor Affida berkata, cabaran utama adalah menyelia tugas pekerja di bawah tanggungjawabnya yang mempunyai pelbagai latar belakang dan bidang kemahiran berbanding aspek teknikal pembinaan stesen yang lazimnya selari dengan pelan pembangunan.

Selain itu, katanya, persaingan dalam bidang kejuruteraan yang dipelopori lelaki menyuntik semangat untuk membuktikan wanita juga mempunyai kredibiliti menerajui pembinaan projek mega, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

"MMC-Gamuda beri peluang untuk saya timba pengalaman dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan, termasuk mengendalikan pembinaan stesen bawah tanah menggunakan pendekatan kaedah pembinaan 'bottom-up' serta 'top-down'.

"Ia adalah pakej kemahiran kejuruteraan yang diperoleh dalam tempoh singkat, sekali gus meningkatkan daya maju dan kredibiliti saya dalam menguruskan sebarang pembinaan stesen bawah tanah pada masa depan.

"Peluang untuk menjadi tenaga mahir dalam pembinaan stesen MRT juga adalah suatu penghormatan kerana saya boleh berkongsi dengan generasi seterusnya bahawa kemudahan ini hasil titik peluh kami sebagai jurutera MMC-Gamuda," katanya.

Jurutera Kanan MMC-Gamuda, Ahmad Faizuddin Abu Bakar, pula berkata peluang kerjaya pertamanya dalam bidang elektrikal diperoleh menerusi Program Graduan Gamuda yang merangkumi latihan teknikal selama setahun.

Pasca latihan, beliau kini ditugaskan untuk meneliti keseluruhan aspek elektrikal stesen MRT dengan meneliti pelan yang diserahkan jururunding bagi memastikan tiada masalah berbangkit, selain menjamin kelancaran operasi.

Sistem sokongan mencukupi

"Bekalan elektrik adalah nadi kepada operasi tren dan stesen MRT, justeru saya perlu memastikan pelan yang dirangka mempunyai sistem sokongan mencukupi dan utuh untuk waktu kecemasan.

"Pada mulanya, saya mengambil tempoh tiga hingga empat bulan untuk memahami dan meneliti pelan elektrikal bagi stesen MRT daripada jururunding kerana ia membabitkan operasi yang sangat rumit serta teknikal.

"Bagaimanapun, kecekapan saya memahami keseluruhan pelan elektrikal meningkat secara mendadak menerusi pengalaman dalam menguruskan bidang ini selama lebih empat tahun.

"Kini, saya boleh mengenal pasti sebarang masalah jika di lapangan atau pengubahsuaian yang perlu dilakukan terhadap sistem pembekalan elektrik sebaik melihat pelan daripada jururunding," katanya.

Graduan Imperial College London yang mendapat tajaan biasiswa daripada Yayasan Terengganu ini antara lain berkata Malaysia ketika ini mempunyai tenaga mahir setaraf negara maju dalam bidang kejuruteraan.

Selain itu, katanya, pakej projek pembinaan MRT menyediakan pelbagai peluang untuk memperkasa kemahiran dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, sekali gus mengoptimumkan bakat tempatan.

"Sistem pengangkutan awam di London maju kerana mereka sudah memacu pembangunan untuk sekian lama, namun Malaysia tidak ketinggalan jauh dan kita semakin mengiktiraf tenaga mahir tempatan," katanya.

Pengurus Pembinaan Stesen Merdeka MMC-Gamuda, Yusni Shahadan, yang bergelumang selama 28 tahun dalam industri pembinaan menyifatkan tugasnya tidak semudah seperti disangkakan orang ramai.

Beliau berkata, rutin harian tugasannya bermula seawal 7.30 pagi dengan memeriksa aspek keselamatan pekerja dan persekitaran berdekatan kawasan pembinaan stesen.

"Stesen saya unik kerana berdekatan dengan Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang menjadi ikon sejarah, selain beberapa sekolah membabitkan ribuan pelajar menyusuri jalan masuk sekitar kawasan stesen setiap hari.

"Oleh itu, saya perlu memastikan zon pembinaan dipagar secara menyeluruh bagi mengelak sebarang kemalangan kerana orang ramai sering mengintai peluang untuk melihat apa yang sedang berlaku di tapak projek.

"Memantau perjalanan operasi di stesen yang terletak kira-kira 32 meter di bawah tanah dan membabitkan sekitar 1,000 pekerja bukan tugas mudah, sebaliknya ia memerlukan perancangan rapi.

"Saya selalu tekankan aspek keselamatan kerana matlamat kami adalah kemudahan pengangkutan awam ini siap tanpa sebarang insiden kemalangan di tapak projek," katanya.

Pengurusan risiko kebakaran

PENGURUS Pembinaan Stesen Merdeka MMC-Gamuda, Yusni Shahadan.

Yusni berkata, kegusaran paling utama terhadap tapak projek stesen bawah tanah adalah risiko kebakaran kerana ia membabitkan kawasan tertutup, manakala bantuan daripada permukaan sukar disalurkan secepat mungkin.

Sehubungan itu, katanya, tiada kompromi dalam memastikan sistem kawalan kebakaran di setiap stesen bawah tanah berupaya berfungsi pada waktu kecemasan.

"Kerja saya tiada istilah cuti kecuali hujung tahun, malah itupun telefon tidak berhenti berdering kerana menerima laporan semasa mengenai pembinaan di tapak projek.

"Laporan terperinci perlu diserahkan kepada pengurusan tertinggi supaya mereka dimaklumkan mengenai perjalanan operasi pembinaan, selain memastikan projek menepati jadual ditetapkan," katanya.

Berita Harian X