Sabtu, 3 Jun 2017 | 11:36pm

Pegang teguh prinsip wala' dalam menjaga keselamatan negara

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (empat dari kiri) bergambar bersama anggota tentera selepas menunaikan solat sunat tarawih di Kem Batu 10. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Anggota pasukan keselamatan perlu berpegang teguh kepada prinsip wala' atau kesetiaan bagi memastikan kemakmuran negara terus terpelihara daripada sebarang ancaman, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata beliau kagum dengan kesetiaan ditunjukkan anggota tentera yang mematuhi prinsip wala' iaitu satu daripada prinsip dalam Islam supaya mematuhi ulul amri atau pemimpin dipilih secara sah selagi ia tidak menyuruh kepada pelanggaran syarak.

Kegagalan mengamalkan prinsip kesetiaan itu, katanya, boleh menyebabkan sesebuah tamadun hancur dan contoh terdekat adalah dalam peristiwa pencerobohan pengganas di Sabah pada tahun 2013.

"Oleh kerana ada anggota kita mengkhianati rakan-rakan dengan membocorkan pergerakan di sebuah perkampungan air, musuh menunggu dan mengakibatkan enam anggota polis kita yang terdiri daripada pasukan Cawangan Khas maut dengan keadaan mayatnya menyayat hati.

"Jadinya, pasukan keselamatan kena tegakkan prinsip wala', jangan bocor rahsia kepada musuh, berjuang bersungguh-sungguh seperti pejuang Islam ketika zaman Rasulullah SAW pada Perang Badar, walaupun berjuang dalam bulan Ramadan yang memenatkan serta panas terik tetap berjaya menewaskan musuh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis jamuan moreh bersama warga Tentera Kem Batu 10 di Dewan Serbaguna Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Panching, dekat sini, malam ini.

Terdahulu, Najib menunaikan solat Isyak dan tarawih di Surau Al-Ikhwan bersama pegawai dan anggota kem berkenaan.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Panglima 4 Briged (Mekanise), Brig Jeneral Datuk Md Din Abu.

Mengulas lanjut, Najib berkata, keamanan negara bukan dikecapi secara kebetulan namun atas usaha pasukan keselamatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi tonggak utama pertahanan negara.

Katanya, walaupun belum terjadi tragedi serangan seperti di negara jiran yang menyebabkan ramai nyawa terkorban, pasukan keselamatan harus bersedia berdepan dengan ancaman seumpama itu.

"Tingkatkan kekuatan dengan meningkatkan profesionalisme, tindakan bersepadu dan risikan maklumat, apabila kita bertindak sedemikian maka kita boleh mengatasinya," katanya.

Beliau juga memberi jaminan akan terus menjaga kebajikan pasukan keselamatan mengikut kemampuan negara bagi memastikan mereka dapat terus berkhidmat dengan baik.

Berita Harian X